Kompaun PLKS punca 50 bot tersadai, 1,500 tan bekalan ikan 'terputus'

Nelayan asing menghabiskan masa mereka dengan membersihkan bot selepas tidak dapat keluar menangkap ikan.
Nelayan asing menghabiskan masa mereka dengan membersihkan bot selepas tidak dapat keluar menangkap ikan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Pengusaha bot laut dalam di Tok Bali dekat sini menyifatkan kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap mereka kerana gagal memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebelum 31 Disember lalu terlalu tinggi dan membebankan.

Wakilnya, Azani Muhammad mendakwa disebabkan itu sebanyak 50 buah bot tersadai sekali gus menyebabkan 1,500 tan bekalan ikan 'terputus' di negeri ini.

"Pada musim pandemik Covid-19 ini, nilai itu amat besar buat kami kerana ia melibatkan kos untuk seorang buruh asing yang melakukan kerja-kerja menangkap ikan di negara ini.

"Jumlah itu belum dicampur lagi dengan bayaran RM1,500 untuk setiap tenaga kerja asing sebagaimana yang telah disyaratkan oleh kerajaan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, setiap bot laut dalam memerlukan 10 tenaga kerja termasuk tekong untuk melakukan kerja-kerja menangkap ikan.

Dia berkata, disebabkan itu, pengusaha bot laut dalam merayu kepada kerajaan agar menarik balik kompaun yang dikenakan ke atas PLKS.

Azani berkata, pihaknya bimbang jika situasi itu berterusan ia akan memberikan kesan kepada bekalan ikan di pasaran ketika ini apabila hanya 10 bot laut dalam sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi selebihnya tersadai.

Artikel Berkaitan:

Azani menunjukkan sebahagian daripada bot-bot laut dalam yang tersadai di jeti Tok Bali, Pasir Puteh pada Khamis.
Azani menunjukkan sebahagian daripada bot-bot laut dalam yang tersadai di jeti Tok Bali, Pasir Puteh pada Khamis.

"Kami amat berharap supaya bayaran kompaun itu dapat ditarik balik bagi membolehkan pengusaha bot laut dalam dapat kembali aktif menangkap ikan supaya bekalan bahan mentah itu mencukupi.

"Sebelum tempoh itu tamat (31 Disember) pengusaha bot laut dalam telah berusaha menyelesaikan dokumen berkait dengan tenaga kerja asing namun berdepan beberapa kesukaran selain tempoh yang diberikan agak singkat," ujarnya.

Menurutnya, jika tempoh itu dilanjutkan pengusaha bot laut dalam yakin mereka mampu menyelesaikan semua perkara tersebut bagi membolehkan operasi menangkap ikan berjalan seperti biasa.

Seorang lagi pengusaha, Mohd Khir Othman berkata, setakat ini hanya 30 tan ikan sahaja yang dapat dibekalkan oleh pihaknya selepas bot-bot lain tidak dapat beroperasi.

Dia berkata, jika kerajaan sedia tarik denda itu pengusaha bot laut dalam boleh selesaikan bayaran RM1,500 dan keluar menangkap ikan seperti biasa.

"Majoriti pengusaha bot laut dalam bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja asing. Hal ini kerana warga tempatan lebih selesa menceburi sektor lain berbanding kerja-kerja menangkap ikan," katanya.

Mohd Khir berkata, terdapat 700 nelayan asing termasuk tekong yang terdiri daripada warganegara Myanmar; Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam yang terlibat dengan kerja-kerja menangkap ikan di kawasan Tok Bali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!