RM8 bilion peruntukan bagi 205 projek di Selangor diluluskan
SHAH ALAM - Hampir RM8 bilion peruntukan telah diluluskan bagi pelaksanaan 205 projek di Selangor di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, kelulusan tersebut akan dibawa kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk pelaksanaan segera.
"Projek yang kita senaraikan dalam Rolling Plan Ketiga RMK12 untuk Selangor ini adalah hasil rundingan kementerian-kementerian dan jabatan bersama kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor, di sini pada Khamis.
Hadir sama di mesyuarat tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor berkata, antara projek penting yang akan dilaksanakan adalah projek tebatan banjir yang melibatkan beberapa lembangan di negeri tersebut.
"Ini kerana kita mahu melihat usaha ini disegerakan ekoran kesan dari banjir besar baru-baru ini adalah amat besar bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada ekonomi negeri dan negara.
"Kita perlu mengambil langkah proaktif termasuk merencana pendekatan baharu dalam menangani bencana seperti ini dan juga pembinaan infrastruktur yang bersesuaian yang lebih lestari dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, dua projek yang tertangguh pembinaannya di negeri tersebut turut dibincang di mesyuarat berkenaan membabitkan sebuah sekolah di Semenyih dan jambatan di Hulu Selangor.
"Pihak Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan telah memberikan penjelasan mengapa projek ini tertangguh dan langkah-langkah telah diambil untuk memastikan projek-projek ini dapat disiapkan segera,” katanya.
Selain itu, katanya, kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor turut dibincangkan bagi program pembasmian kemiskinan dengan pembangunan pengkalan data yang lebih menyeluruh dapat disiapkan di peringkat negeri dan daerah.
"Ini kerana bila ada keperluan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan maka kumpulan sasar ini telah dikenal pasti dan penyampaian itu akan lebih menyeluruh dan efektif untuk menjayakan dasar-dasar kerajaan persekutuan bersama dengan negeri,” kata Mohamed Azmin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!