Yayasan MySDG platform selaras geran dengan lebih baik
PUTRAJAYA - Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) yang dilancarkan hari ini, akan menjadi platform bagi menyelaras geran daripada pelbagai sumber dengan lebih baik.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penubuhan yayasan itu yang merupakan hasil kerjasama kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, turut membabitkan komitmen peruntukan sebanyak RM20 juta oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, usaha itu akan turut merapatkan jurang pembiayaan melalui sumbangan daripada sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atau individu dari dalam dan luar negara yang dilaksanakan melalui kaedah lebih sistematik dan mampan serta memastikan ketelusan saluran untuk menyumbang kepada agenda matlamat pembangunan mampan (SDG).
"Pelbagai dana telah ditubuhkan dan diuruskan oleh pihak berkepentingan untuk mengatasi isu yang meliputi pembasmian kemiskinan, kebajikan hidupan liar serta pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
"Namun dana-dana tersebut seringkali berhadapan dengan isu kelangsungan termasuk kekangan kewangan bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program dan projek dalam jangka panjang.
"Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan pengurusan dana yang lebih selaras dan bersepadu bagi membiayai program dan projek di negara ini yang mungkin di luar cakupan peruntukan tahunan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penubuhan Yayasan MySDG yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.
Yayasan tersebut akan ditadbir oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada individu disegani dalam kalangan sektor awam, penggiat industri, ketua masyarakat sivil serta pakar dalam bidang tertentu.
Menurut Tengku Zafrul, lembaga berkenaan akan menetapkan keutamaan strategik terhadap dana itu berdasarkan tonggak SDG serta mendapatkan maklum balas dan input awam mengenai projek yang bakal dijalankan.
"Semua program dan projek di bawah dana ini juga tertakluk kepada proses pemilihan, pemantauan, pelaporan dan keperluan pengauditan yang teliti dan telus,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!