Malaysia pertaruh barisan pemain terbaik

Exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman (dua dari kanan) menerima replika tajaan yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Saw Chit Boon (dua dari kiri) sambil diperhatikan Kenny (tengah). - Foto Bernama
Exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman (dua dari kanan) menerima replika tajaan yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Saw Chit Boon (dua dari kiri) sambil diperhatikan Kenny (tengah). - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA memburu tiket automatik Piala Thomas dan Piala Uber 2022 apabila membuat penampilan pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dari 15 hingga 20 Februari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu akan mempertaruhkan barisan pemain terbaik yang telah melalui persediaan rapi bagi menggalas cabaran negara.

Beliau berkata, pihaknya tidak menutup peluang pemain profesional menyertai skuad negara pada kejohanan itu yang dianjurkan Majlis Sukan Negeri Selangor bersama kerajaan negeri sebagai hos selain mendapat kerjasama Badminton Asia dan BAM.

"Kita akan lihat pemain sedia ada termasuk di dalam dan luar BAM, siapa yang terbaik. Kita akan lihat pelbagai faktor termasuk daripada segi sumbangan pemain itu dan juga dari aspek taktikal, sebab ini adalah acara berpasukan.

"Saya sentiasa berkomunikasi dengan kedua-dua pengarah kejurulatihan, jadi mereka mengatakan persediaan memang agak rapi dan walaupun kita baru sahaja tahu mengenai kejohanan, tetapi pemain telah bersedia dan akan berikan prestasi terbaik,” katanya dalam sidang media BATC 2022 di Petaling Jaya pada Khamis.

Skuad lelaki negara muncul naib juara BATC 2020 selepas tewas kepada Indonesia di pentas final sementara perjalanan barisan pemain wanita negara terhenti di separuh akhir apabila kecundang di tangan Jepun.

Bagaimanapun, kejayaan mara ke separuh akhir sudah cukup untuk mengesahkan slot secara merit kedua-dua skuad negara di pentas Piala Thomas dan Piala Uber 2020.

Pada BATC 2022, Malaysia dan sembilan lagi pasukan - Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong dan Singapura akan bersaing bagi mengesahkan tempat lebih awal pada Piala Thomas dan Uber yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kenny berkata, ketiadaan pasukan gergasi dunia, China tidak menjadikan kejohanan tersebut kurang kompetitif.

"Bagi saya kita tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan kerana kalau kita lihat dari segi ranking dunia hampir 80 ke 90 peratus adalah pasukan terbaik Asia, jadi bagi saya ia bukan satu kejohanan yang mudah walaupun tiada China,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!