Zahid nafi jadikan BN kerajaan untuk selesai kes mahkamah
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya beliau berusaha mengembalikan kerajaan UMNO, Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kes mahkamah.
Beliau berkata, ia sebaliknya satu propaganda politik yang dimainkan oleh sesetengah pihak terhadap dirinya.
“Propaganda saya mahu UMNO/BN bekerjasama dengan parti itu sudah berakhir. Begitu juga propaganda menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri terdahulu kerana tamakkan kuasa.
“Biar saya terangkan apa yang pernah berulang kali nyatakan sejak awal bahawa sesungguhnya saya bertekad untuk membersihkan nama saya di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun ramai berpandangan ia adalah pendakwaan politik dan terpilih selepas mereka tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) angkara fitnah dan pembohongan tetapi beranilah atas nama kebenaran.
“Jika saya dan beberapa lagi pemimpin UMNO tiada ketabahan dan keazaman itu, pasti jauh berbeza keadaan kami ketika ini lebih selesa namun tunduk, layu dan lesu.
“Mungkin ini jua ketentuan Ilahi, asbab untuk perjuangan demi agama, bangsa, tanah air serta kebenaran semakin bersemarak dalam roh dan jasad parti ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sesungguhnya beliau terima dakwaan sedang berusaha untuk mengembalikan kerajaan UMNO/BN kerana itu tanggungjawab serta fungsi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
Tambahnya, tidak sesekali beliau akan membenarkan parti milik rakyat dan demi rakyat itu hilang jati dirinya.
“Apatah membiarkan ia melukut di tepi gantang tidak berdaya dan tidak berguna, tidak mampu membantah malah tidak lagi dihirau gara-gara kehilangan kuasa.
“Insya-ALLAH selagi ada kudrat kurniaan Tuhan, perjuangan untuk kebangkitan mutlak UMNO/BN bersama seluruh pimpinan dan ahli akar umbi akan terus berlaku.
“Sebagai hambaNYA kepada ALLAH SWT juga kita memanjatkan doa dan pertolongan selepas segala upaya mereka kembali sebagai teras pentadbiran negara. Bukan kerana kes mahkamah tetapi atas amanah yang diberikan serta demi kesejahteraan dan kemakmuran dikembalikan di bumi bertuah ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!