'Pinang' penghuni baharu Zoo Taiping
TAIPING - Seekor anak gajah betina yang diberi nama Pinang menjadi penghuni terbaharu Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), di sini selepas dilahirkan oleh 'Kelian' pada 1 Januari 2022.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kelahiran baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan gajah Malaysia di ZTNS ketika ini sebanyak 11 ekor.
Menurutnya, setiap anak gajah yang lahir akan hidup bersama ibunya lebih kurang enam hingga tujuh tahun manakala tempoh penceraian susu sekitar umur tiga hingga empat tahun.
"Ini merupakan kelahiran yang kelapan berjaya disambut oleh ZTNS.
Kelahiran ini menjadikan ZTNS sebagai salah satu zoo yang berjaya membiak gajah Malaysia dengan jayanya.
"Pemantauan telah dibuat sepanjang tempoh bunting gajah tersebut dan sehingga kini penjaga masih lagi memantau keselamatan dan keadaan anak dan ibunya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di ZTNS, di sini pada Khamis.
Menurutnya, sifat semula jadi dan keistimewaan yang dimiliki oleh gajah iaitu hidup berkumpulan serta melindungi anak yang baru dilahirkan untuk menjaga keselamatan anak tersebut.
Sementara itu, Khairul Amir berkata, sepanjang tahun lalu, ZTNS juga telah menerima dan menambah beberapa spesies haiwan baharu seperti Nyala, Zebra, Eland serta Impala yang akan ditempatkan di pameran Savana Afrika iaitu salah satu pameran yang terdapat di situ.
Menurutnya, selain itu, ZTNS turut menerima spesies haiwan cukup unik dan jarang ditemui iaitu Kera Hantu yang merupakan spesies aktif pada waktu malam dan boleh dijumpai di dalam hutan kepulauan Asia Tenggara.
"Spesies Kera Hantu yang terdapat di ZTNS adalah jenis Kera Hantu Spektral.
Kera Hantu Spektral adalah spesies endemik di Sulawesi, Pulau Peleng dan Pulau Selajar, Indonesia.
"ZTNS merupakan satu-satunya zoo di Malaysia yang mempamerkan spesies Kera Hantu di dalam pameran.
Memandangkan Kera Hantu adalah spesies ‘Nocturnal’ ia adalah lebih sesuai dilihat semasa Night Safari," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan pertambahan kunjungan orang ramai ke ZTNS pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 464,391 orang.
Menurutnya, pihak ZTNS menjangkakan kehadiran pengunjung sehingga 700,000 orang setahun dengan anggaran kehadiran sebulan mampu mencecah sehingga 90,000 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!