'Saya doakan keajaiban untuk Muafakat Nasional'
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengharapkan agar perpaduan antara parti dalam Muafakat Nasional (MN) terus dijaga demi kemajuan negara.
Menurutnya, kekuatan azam politik yang mencipta MN masih tidak mencukupi untuk memeliharanya daripada kemungkinan kembali pecah dan terburai ikatannya.
"Politik Islam hari ini perlukan lonjakan baru dengan penguasaan dan kepakaran yang lebih menyerlah dalam perundingan politik ke arah kemajuan negara.
"Segala kebaikan dan keuntungan yang telah pun dicapai hasil daripada perpaduan antara parti-parti mestilah dilestarikan agar ia terus menghasilkan buah demi buah pada masa depan," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Hubungan politik antara parti dalam MN kembali bergoncang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan gabungan parti dalam muafakat itu iaitu UMNO dan Pas yang tidak sehaluan.
Ia sekali gus menyebabkan keretakan lebih serius dalam MN yang hanya menanti untuk pecah.
Beliau berkata, semua parti sebelum ini berjaya menyatukan (MN), namun tidak berupaya menjaganya dengan baik.
"Ia kerana kita belum bersedia dengan penguasaan dan kepakaran perundingan dalam menangani krisis yang pasti sahaja boleh berlaku. Bukankah perpaduan itu ramai musuh dan penghasadnya?
"Apa erti rundingan jika perunding asyik pulang membawa api dan kepanasan? Atau, lebih teruk, berjalan ke meja rundingan dengan cahaya bebola api yang dilepaskan dari pangkalan masing-masing," katanya.
"Saya doakan keajaiban ini untuk Muafakat Nasional. Semoga nikmat ALLAH tidak hilang, tidak bertukar keafiatannya dan dikejutkan dengan kecelakaan ke atasnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!