Pusat hiburan diserbu, 35 pengunjung dikompaun RM35,000

Nor Omar (tengah) meninjau operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis di Sitiawan pada Khamis.
Nor Omar (tengah) meninjau operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis di Sitiawan pada Khamis.
A
A
A

MANJUNG - Seramai 35 pengunjung sebuah pusat hiburan di Sitiawan dikompaun RM35,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini tengah malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dikenakan kompaun dalam satu serbuan sekitar jam 11.15 malam.

Menurutnya, hasil risikan mendapati, pusat hiburan yang baru dua hari beroperasi semula itu turut menyediakan pelayan pelanggan wanita warga asing.

"Ketika serbuan, kedengaran muzik yang dipasang terlalu kuat dan apabila diperiksa kita dapati pusat berkenaan yang baru dua hari beroperasi semula mempunyai beberapa bilik karaoke.

"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut berjaya mengesan sembilan wanita warga Vietnam yang kita syaki bekerja di pusat berkenaan, kesemua mereka telah ditahan bagi siasatan di bawah Akta Imigresen," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di premis perjudian haram sekitar daerah Manjung pada Khamis.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan enam lelaki dan empat wanita warga tempatan apabila pemeriksaan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

"Polis akan terus bertindak tegas dalam membanteras sebarang aktiviti yang meninggalkan kesan tidak baik kepada masyarakat seperti ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Omar berkata, operasi pemotongan elektrik kali ini melibatkan dua kedai serbaneka, dua kedai telefon bimbit dan sebuah kedai makan sekitar Lumut dan Sitiawan yang dikesan masih aktif meneruskan kegiatan ejen perjudian haram.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua premis berkenaan didapati tidak serik mengulangi kegiatan sama meskipun telah dikenakan tindakan sebelum ini.

"Daripada laporan kita dapati, premis ini aktif menjadi ejen perjudian haram sejak tiga tahun lalu dengan berselindung dengan perniagaan lain dan mendapat komisen 18 peratus daripada hasil jualan.

"Tindakan memotong bekalan elektrik ini dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 306 kertas siasatan berkaitan kes judi telah dibuka dengan 253 kes sudah dituduh di mahkamah dan 14 premis diambil tindakan pemotongan elektrik.

"Bagi bulan ini sahaja, sebanyak 28 kertas siasatan telah dibuka dan 20 kes sudah dikenakan tindakan.

"Saya tegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian dan kita konsisten membanteras aktiviti ini termasuk semua kesalahan jenayah lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!