Contohi konsep 'Saemaul Undong' bangunkan kampung
Korea Selatan berjaya meletakkan asas yang kukuh bagi pembinaan sebuah negara bangsanya menerusi 'Saemaul Undong' yang membawa maksud 'Gerakan Kemajuan Baharu'
ALOR SETAR - Konsep 'Saemaul Undong' di Korea Selatan yang digunakan untuk memajukan kampung perlu dicontohi Institusi Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negara ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, konsep yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee pada tahun 1970 itu berjaya membawa perubahan besar di kawasan luar bandar negara tersebut.
Menurutnya, Korea Selatan berjaya meletakkan asas yang kukuh bagi pembinaan sebuah negara bangsanya menerusi 'Saemaul Undong' yang membawa maksud 'Gerakan Kemajuan Baharu'.
"Saya suka mengambil contoh apa yang dilakukan di Korea Selatan itu yang dilihat berjaya melakukan transformasi kawasan luar bandarnya menerusi konsep 'Saemaul Undong'.
"Mereka telah mengubah semua kampung-kampung dari atap jerami gandum kepada atap genting dan juga membaik pulih rumah, melatih ketua-ketua kampung dengan istilah membina satu negara bangsa," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus JPKK Dalam Pengendalian Komuniti serta Pembangunan Daerah Padang Terap di Langkawi pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Korea Selatan telah membuktikan peranan besar ketua kampung dengan berjaya mengubah landskap dan kehidupan masyarakat luar bandarnya dalam tempoh 10 tahun antara 1970 hingga 1980.
Menurutnya, pada tahun 2013, mereka sekali lagi melakukan transformasi menerusi cogan kata 'Kami Mengusai Dunia' dengan pelbagai jenama peralatan elektronik yang dieksport dan digunakan di seluruh dunia seperti telefon bimbit jenama Samsung dan kereta jenama KIA.
"Mereka dari bangsa yang miskin selepas perang, 50 tahun Korea Selatan membangun menjadi sebuah negara hebat.
"Hari ini tuan-tuan dalam 50 tahun, tuan-tuan menjadi ketua, apa yang kita hendak angkat di kampung-kampung menjadi status lebih daripada apa yang ada hari ini, maka kita hendak tengok apa yang kita boleh buat," ujarnya.
Jelasnya, ketua-ketua kampung, JPKK dan JKKK perlu mempunyai data lengkap berkaitan kampung selain perlu merangka program yang bersesuaian untuk masyarakat di bawah pimpinannya.
"Dalam kepimpinan zaman ini, tuan-tuan menjadi ketua JPKK, apa yang kita nak adalah data. Apa dia data?
"Dalam kampung saya ada 112 rumah, anak-anak kampung sudah 16 orang berada di universiti, empat di luar negara dan 12 di universiti tempatan manakala ada yang sudah bekerja di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (38 orang), 20 sudah berkahwin, ada tak data tersebut pada kita? Sebagai Ketua Kampung, data-data itu yang diperlukan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!