Sokongan peminat dorong Halo Telco bekerjasama dengan KDA FC
FAKTOR peminat yang ramai dan sokongan hebat yang diberikan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC muncul antara sebab Halo Telco memilih untuk menjadi rakan rasmi telekomunikasi kelab tersebut bagi musim 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Halo Telco, Mohd Shukrie Rahim berkata, potensi dan kualiti dimiliki oleh naib juara Liga Super 2021 itu mampu memberikan kesan positif kepada kerjasama termasuk keuntungan kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, sempena kerjasama tersebut, Halo Telco menyasarkan sebanyak 100,000 keping kad sim edisi khas akan didaftar dan dimiliki oleh penyokong terutamanya warga Kedah pada tahun ini.
"Apa yang kita lihat kepada KDA FC adalah penyokongnya. Kelab ini mempunyai ramai peminat selain ada matlamat bukan sekadar menjadi pasukan nombor kedua terkuat di Liga Malaysia malah turut mahu menjadi nombor satu.
"Faktor-faktor ini yang menjadi penyebab kita tertarik untuk bekerjasama dengan KDA FC pada tahun 2022. Kolaborasi ini akan berlangsung selama satu tahun, dan insya-ALLAH jika diberikan rezeki, kami tidak menolak untuk meneruskan kolaborasi ini ke tahun yang seterusnya," katanya pada sidang media di Pejabat KDA FC di Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), dekat sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Tandatangan Perjanjian Rakan Rasmi KDA FC dan Pelancaran Produk Eksklusif KDA FC & Halo Telco.
Mengulas lanjut, Mohd Shukrie berkata, Halo Telco merupakan sebuah syarikat pemasaran telco yang bekerjasama dengan syarikat Tune Talk.
Menurutnya, syarikat itu juga berharap dapat membantu lebih banyak lagi warga Kedah untuk menjadi usahawan digital dan menjana pendapatan secara pasif dengan memasarkan serta mempromosikan kad sim Halo Telco kepada orang ramai.
"Sebanyak dua peratus jualan daripada langganan kad sim Halo Telco versi KDA akan diberikan kepada kelab ini sebagai pembahagian hasil," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, jalinan kerjasama tersebut merupakan langkah baharu buat kelab itu dan berharap mampu memberikan manfaat kepada semua yang terlibat.
"Ini adalah proses awal. Kita tidak pernah ada kerjasama seperti ini. Kita nak tengok proses dan pencapaian bermula dengan jangka pendek dan juga panjang. Mungkin musim hadapan mereka akan terus jadi rakan rasmi KDA FC," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khamal Idris berkata, beberapa perlawanan pramusim 2022 sudahpun diatur dan dilalui oleh skuad Hijau Kuning bagi membentuk keserasian terutamanya kepada muka baharu.
Menurutnya, barisan kejurulatihan KDA FC semakin dapat menilai kekuatan semua pemain baharu terutamanya dalam membentuk skuad yang lebih memfokuskan kepada kepantasan permainan.
"Pasukan telah menjalani dua perlawanan persahabatan sejak awal bulan ini. Apa yang barisan kejurulatihan nampak ialah kualiti yang ada pada semua pemain yang mana lebih kepada tahap kepantasan. Corak permainan juga mungkin berubah lebih kepada kemahiran.
“Kita akan tingkatkan lagi beberapa aspek untuk memantapkan pemain pasukan. Harap ia dapat membantu pasukan ketika hendak berdepan Sarawak United FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 yang akan berlangsung pada 4 Mac depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!