Barisan Exco Perak kekal: MB
CHEMOR - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan berlakunya perubahan baharu dalam barisan exco akan datang terutama portfolio yang diwakili PKR.
Menurutnya, barisan Exco kini masih kekal dan semua exco perlu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas setahun berkhidmat.
"Setakat ini, tiada apa-apa perubahan dan lazimnya pada setiap tahun semua Exco akan kembali mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak.
"Sebelum majlis tersebut, saya akan mempersembahkan kembali kepada Sultan Perak untuk baginda perkenankan senarai barisan exco," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada berlaku pertukaran Exco bagi kerusi yang diwakili PKR berikutan perubahan kepimpinan negeri parti itu selepas merasmikan Kejohanan Sukan Sekolah Rendah Agama Rakyat Al Junid di sini, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan Exco akan dilanjutkan selepas mendapat perkenan Sultan Perak.
"Tentunya prestasi menteri besar dan barisan Exco boleh diperbaiki dan kami bekerjasama dengan baik. Setakat ini, saya tidak ada apa-apa masalah dengan Exco. Barisan Exco masih kekal," katanya.
Pada PRU14 lalu, PKR memenangi empat kerusi di DUN Kuala Kurau, Simpang Pulai, Teja dan Hulu Kinta.
ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari memegang portfolio Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak manakala ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dilantik sebagai Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak.
Sementara itu, Ahmad Faizal melahirkan rasa terharu dengan keyakinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan PH Perak.
"Saya kira selepas apa yang diperkatakan oleh PM sendiri, saya harap cerita-cerita berkenaan masalah PH atau usaha-usaha menjatuhkan kerajaan di Perak dapat dihentikan.
"Sejak mula lagi kita mendirikan kerajaan di Perak, saya minta semua pihak termasuk PH dan pembangkang untuk tinggalkan politik dan tumpukan usaha memajukan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!