Samseng jalanan ugut mangsa padam video tular dicekup
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki ditahan polis pada Khamis kerana disyaki melakukan ugutan terhadap seorang individu yang memuat naik sebuah klip video yang memaparkan suspek berlagak ala-ala samseng berikutan perselisihan faham di sebuah jalan raya di sini.
Klip video berdurasi 2 minit 19 tersebut memaparkan suspek tidak berpuas hati selepas gagal memotong lalu bertindak mengejar dan menahan kereta mangsa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan semasa hadir memberi keterangan di balai polis.
Menurutnya, video tersebut memaparkan pemandu Proton Perdana berselisih faham dengan mangsa dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter VICENZO LORENZO MEOOOW pada 24 Januari sebelum tular.
"Susulan dari kejadian itu, pemilik akaun Twitter tersebut telah membuat laporan polis pada 27 Januari (Khamis) kerana mendapat ugutan melalui mesej suara dalam di Facebook Messenger daripada suspek.
"Suspek memberitahu mangsa supaya tidak perlu memviralkan video tersebut, selagi video tersebut viral mangsa tidak akan selamat dan meminta video itu dipadamkan serta menyuruh mangsa membuat laporan polis kalau berasa tidak selamat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil siasatan pihak polis menahan suspek yang dipercayai individu yang memandu Proton Perdana dalam video tular tersebut dan dia juga disyaki bertanggungjawab menghantar ugutan menerusi Facebook Messenger kepada mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!