Suri rumah rugi RM1 juta ditipu 'pegawai Telekom'
KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah mengalami kerugian mencecah RM1 juta kerana ditipu sindiket macau scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) dan anggota polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa membuat laporan pada Rabu selepas menyedari dirinya ditipu sindiket tersebut.
Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai 'pegawai TM' pada 15 Januari lalu yang memaklumkan maklumat peribadi mangsa digunakan untuk pendaftaran talian dengan TM dan mempunyai tunggakan bayaran.
"Panggilan tersebut kononnya disambungkan kepada 'pegawai Polis Diraja Malaysia' (PDRM).
Mangsa dimaklumkan namanya terlibat dalam jenayah narkotik dan AMLA (pengubahan wang haram).
"Mangsa kemudiannya dinasihatkan untuk membuat transaksi pemindahan wang berjumlah RM1 juta ke tujuh akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa cuba menghubungi 'pegawai polis' tersebut namun gagal susulan itu wanita berkenaan membuat laporan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!