Tengku Zafrul digesa jelas isu pinjaman kepada Genting Hong Kong
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjawab persoalan berhubung tiga bank tempatan dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, desakan itu dibuat susulan media melaporkan tiga bank Malaysia, Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad yang dijangka mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran Genting Hong Kong yang diisytihar muflis.
“Menurut laporan media, ketiga-tiga bank ini telah memberi pinjaman tanpa jaminan berjumlah RM2.51 bilion (AS$600 juta).
“Justeru, saya mendesak Menteri Kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong.
“Ini adalah kerana kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan keuntungan tiga bank Malaysia, Maybank, CIMB dan RHB Bank dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.
Ketiga-tiga bank itu adalah antara beberapa pemiutang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong dengan gabungan pendedahan berjumlah RM2.5 bilion (USD600 juta).
Mengulas lanjut, Anwar turut mempersoalkan bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian tersebut boleh diberikan dengan begitu mudah.
Katanya, walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong, pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia yang sekurang-kurangnya perlu diminta jaminan peribadi atau simpanannya dalam syarikat yang dimilikinya di Malaysia.
“Menteri Kewangan juga dituntut menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.51 bilion ini akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis.
“Bagi saya, penjelasan ini perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!