Peningkatan jumlah pengundi muda beri kelebihan kepada PH

Suhaizan ketika menjadi panel dalam Dialog Tiga Penjuru bertajuk ‘PRN Johor: Dulu, Kini dan Apa Pula Selepas Ini?’ terbitan Astro Awani pada Khamis.
Suhaizan ketika menjadi panel dalam Dialog Tiga Penjuru bertajuk ‘PRN Johor: Dulu, Kini dan Apa Pula Selepas Ini?’ terbitan Astro Awani pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan jumlah pengundi kepada seramai 700,000 orang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk anak muda bakal memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH), kata Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, situasi PRN di negeri tersebut juga menjadikan ia berbeza dengan pilihan raya yang berlaku di Melaka pada tahun lepas.

Katanya, kelebihan itu juga bakal dibantu dengan keterbukaan gabungannya untuk mendampingi parti anak muda iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Di situ, saya akui kita ada kelebihan dan itulah sebenarnya antara faktor-faktor yang berlainan daripada apa yang berlaku di Melaka.

“Di Melaka itu, pada waktu itu belum lagi mewartakan pengundi automatik atau pengundi 18 tahun. Jadi, maknanya di situ kita ada kelebihan,” katanya ketika menjadi panel dalam Dialog Tiga Penjuru bertajuk ‘PRN Johor: Dulu, Kini dan Apa Pula Selepas Ini?’ terbitan Astro Awani pada Khamis.

Dialog tersebut turut menampilkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.

PRN Johor bakal menyaksikan pertambahan lebih 700,000 pengundi baharu termasuk termasuk kira-kira 180,000 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun.

Namun begitu, Suhaizan pada masa turut meluahkan kebimbangannya terhadap keupayaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menguruskan peningkatan besar lebih kurang 756,000 daftar pemilih dalam tempoh 60 hari.

Artikel Berkaitan:

“Ini SPR sebut kepada saya. Dahulu mereka memproses data untuk satu-satu suku tahunan sebanyak 20,000 setiap negeri. Tapi sekarang sebanyak 756,000 daftar pemilih seluruh negeri Johor.

“Itulah sebenarnya yang mereka terpaksa hadapi. Betul SPR mungkin boleh buat, tapi saya yang sedikit sebanyak dalam bidang teknologi maklumat (IT) ini, kalau data terlalu banyak dan dengan sistem sedia yang belum sempurna.

“Saya sangat khuatir data-data yang akan diberikan kepada calon-calon nanti yang akan digunakan bakal menghadapi masalah terutama apabila kita nak menentukan di mana saluran pengundi-pengundi ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!