Terima kasih KBS, MSN
PENSTRUKTURAN semula elaun atlet bagi pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA dan Sukan Para Asean seperti mana yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu nyata melegakan atltet terlibat.
Bagi jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, dia amat berterima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mendengar keluhannya sebelum ini.
“Luahan saya tempoh hari itu bukan untuk diri saya semata-mata tetapi ia juga mewakili kesemua atlet yang terkesan tidak kira senior mahupun junior.
“Jadi saya mahu ucap terima kasih kepada pihak menteri dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) kerana menaikkan semula kadar elaun latihan atlet.
“Saya percaya kalau atlet muda nampak atlet senior dapat bayaran seperti ini kalau menang pingat pada Sukan SEA, sudah tentu mereka akan bekerja keras untuk achieve sesuatu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini, Rayzam Shah antara atlet yang lantang mempersoal kadar elaun latihan atlet yang dipotong dan meminta pihak MSN menilai semula potongan elaun berkenaan.
Mengulas lanjut, Rayzam Shah percaya kenaikan semula elaun itu sudah tentu akan menjadi batu loncatan buat atlet muda negara untuk beraksi dengan cemerlang pada temasya Sukan SEA nanti.
“Jadi mereka juga akan rasa bersemangat untuk teruskan latihan. Cuba katakan masih kekal RM800, saya rasa ibu bapa mesti akan fikir masak-masak sebelum hantar anak mereka untuk sertai latihan,” jelasnya.
Untuk rekod, Rayzam Shah yang telah mewakili negara sejak 15 tahun lalu meraih pingat perak pada temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Sebelum itu, atlet berusia 34 tahun kelahiran Sabah itu memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand dan edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengharapkan lebih banyak dana diberikan untuk menambah elaun atlet di semua peringkat sukan.
“Kuasa viral. Mereka yang mendapat manfaat ini (kenaikan elaun) harus berterima kasih kepada Rayzam Shah. Marilah kita berharap dan berdoa akan ada lebih banyak pembiayaan untuk menambah elaun atlet,” ujarnya.
Pada Rabu, Ahmad Faizal mengumumkan penstrukturan semula elaun atlet membabitkan sebanyak 45 atlet normal dan 12 atlet para yang meraih pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA dan Sukan Para Asean.
Penstrukturan itu membabitkan pertambahan bajet sebanyak RM322,800 yang mana pemenang perak menikmati kenaikan daripada RM800 kepada RM1,500 manakala gangsa (RM800-RM1,000) sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!