Shah Alam dan 'periuk api' di mana-mana
KIRA-KIRA 30 tahun lalu, Shah Alam amat terkenal dengan tarikan ke masjid biru yang menjadi pilihan sektor pelancongan tempatan dan antarabangsa, malah jika lawatan sekolah ke ibu kota, itulah juga antara destinasi tarikannya.
Masjid dengan konsep seni bina Melayu dan ala-ala Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis itu menjadi tumpuan sejak 1988. Ketika itu memang menjadi kebanggaan warga Shah Alam.
Buat yang pertama kali singgah ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pasti tertanya-tanya dengan sistem bilik wuduknya tanpa kepala paip yang mendatangkan kejutan budaya buat mereka yang berada di luar lingkungan teknologi pada masa itu.
Bagaimana hendak berwuduk tanpa kepala paip? Inilah antara pertanyaan buat mereka yang kali pertama menjejak kaki ke masjid serba canggih itu.
Tetapi itu dahulu, hanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Negara menjadi tumpuan. Kini sudah banyak masjid moden walaupun jauh dari ibu kota.
Pada masa sama, pelbagai pusat beli-belah wujud di Shah Alam, malah kawasan perumahan mewah juga semakin bertambah.
Bagaimanapun, hari ini kebanggaan Shah Alam itu semakin pudar, bukan kerana tiada lagi perkembangan pembangunan tetapi diambil alih oleh isu ‘periuk api’ merata-rata yang menanti mangsa di jalan raya sekitar Shah Alam.
Sebagai sebuah ibu negeri, Shah Alam dengan kutipan pendapatan hasil pada 2021 sebanyak RM498,820,920 tidak dimanfaatkan sepenuhnya kepada pembayar cukai.
Kutipan pendapatan hampir RM500 juta itu membuatkan masyarakat hanya mampu melihat di dada-dada akhbar sahaja, bukan ‘menikmatinya’.
Mereka terpaksa menanggung sengsara kerosakan kenderaan akibat ‘periuk api jadian’ di kawasan-kawasan bulatan utama Shah Alam dan jalan raya.
'Periuk api jadian' yang dimaksudkan ialah keadaan jalan yang berlopak-lopak dan berombak tetapi tidak dibaiki. Bukan sahaja kenderaan mengalami kerosakan, lebih malang ia juga berisiko berlaku kemalangan jiwa kepada pengguna.
Jadi, tolonglah bantu dan selesaikan masalah berkenaan dengan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!