Bekalan air sering putus, penduduk tak sempat buat persiapan

Hasliza terpaksa bangun seawal jam 5.30 pagi untuk tadah air berikutan masalah gangguan bekalan di Taman Lembah Bujang Utama, Merbok, Kedah.
Hasliza terpaksa bangun seawal jam 5.30 pagi untuk tadah air berikutan masalah gangguan bekalan di Taman Lembah Bujang Utama, Merbok, Kedah.
A
A
A

MERBOK - Kekerapan gangguan bekalan air di Taman Lembah Bujang Utama di sini sepatutnya diberikan notis awal bagi memudahkan penduduk membuat persiapan.

Peniaga, Roslilawati Abu Hassan, 41, berkata, bekalan air sering terputus menyebabkan penyediaan kuih-muih untuk dijual juga terganggu sekali gus menjejaskan pendapatannya.

Menurutnya, cadangan penghantaran bekalan air melalui lori ke rumah penduduk terjejas juga perlu dilakukan secara berjadual bagi memastikan mereka yang keluar bekerja tidak terlepas untuk menyimpan air.

Roslilawati
Roslilawati

"Setakat ini dua buah tangki diletakkan berdekatan Surau As-Syakirin, bagaimanapun bagi penduduk yang rumah agak jauh, ada anak kecil dan suami keluar bekerja, sukar untuk mengangkut air.

"Kita cadangkan agar lebih banyak tangki disediakan di setiap lorong memandangkan gangguan air di sini kerap berlaku, pendapatan saya jual kuih dan peniaga nasi lemak serta yang lain turut terjejas," katanya.

Penduduk, Wan Nor Lailizan Wan Teh, 34, berkata, gangguan bekalan berlaku sejak 2020 dan paling ketara dua minggu kebelakangan ini.

"Macam-macam alasan diberikan termasuklah dakwaan berlaku kebocoran, cuci tangki, musim kemarau dan pertukaran kerajaan, sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan kerana sudah lama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ganguan bekalan air yang sering berlaku menyebabkan penduduk terpaksa berjimat dan tadah air untuk kegunaan harian.
Ganguan bekalan air yang sering berlaku menyebabkan penduduk terpaksa berjimat dan tadah air untuk kegunaan harian.

Kata Nurhidayah Md Khir, 38, pula, akibat ketiadaan air, dia dan suami sering ke Air Terjun Tupah untuk membersihkan diri.

"Disebabkan tekanan air rendah, penduduk perlu tadah air di luar rumah dan angkut masuk ke dalam, bagi orang muda tak apa, tetapi warga emas dan orang yang sakit bagaimana?" katanya.

Sementara itu, keadaan kesihatan dua anak berusia dua dan empat tahun yang demam dan mengalami muntah-muntah, menyebabkan Siti Nor Fariza Zahari, 27, bersetuju dengan keputusan suami untuk menyewa bilik hotel.

"Saya sendiri tidak sihat kerana alahan, anak pula muntah dan demam, kami terpaksa berehat dan cuci apa yang patut di hotel sebab kat rumah tak ada air," katanya.

Penduduk terpaksa menadah air di luar rumah berikutan tekanan rendah dan sering berdepan masalah terputus bekalan.
Penduduk terpaksa menadah air di luar rumah berikutan tekanan rendah dan sering berdepan masalah terputus bekalan.

Bagi pekerja kilang, Hasliza Idrus, 39, dia terpaksa bangun seawal 5.30 pagi untuk tadah air bagi tujuan membersihkan diri dan persiapan anak ke sekolah.

"Pagi ini saya bangun 5.30 pagi untuk tadah air, tetapi air tak ada pula, saya terpaksa minta kebenaran majikan sampai lewat ke tempat kerja sebab balik ke rumah mak untuk mandi dan tadah air," katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan penduduk di Taman Seri Bayu, Sungai Lalang turut berdepan isu sama iaitu gangguan bekalan air.

Dalam perkembangan sama, Pejabat Menteri Besar memaklumkan kerajaan negeri Kedah tidak pernah memandang remeh masalah pembekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat di kebanyakan daerah di negeri tersebut.

Kenyataan pada Rabu itu turut menjelaskan, perkara itu diletakkan sebagai prioriti Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk diselesaikan dalam tempoh kepimpinan beliau sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Mei 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!