Traore sedia robek gawang Tunisia
PENGENDALI Burkina Faso, Kamou Malo, menegaskan ayam tambatan skuad kendaliannya itu, Bertrand Traore dilihat telah bersedia untuk mengetuai jentera serangan berdepan Tunisia pada aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika 2022 di Stadium Limbe pada awal pagi Ahad.
Malah katanya, penyerang Aston Villa itu juga sudah tidak sabar untuk merobek gawang skuad The Carthage Eagles dan membawa Burkina Faso beraksi di separuh akhir.
“Traore berazam untuk menjaringkan lebih banyak gol pada kejohanan kali ini dan kini dirinya berada pada tahap terbaiknya.
“Justeru, senario berkenaan dan diharapkan dapat membantu kejayaan pasukan nanti dan seterusnya seterusnya mengesahkan slot ke separuh akhir.
“Apa pun, untuk berdepan Tunisia, kita tidak akan buat banyak perubahan kepada pasukan bagi memastikan momentum kemenangan pasukan tidak terganggu,” katanya.
Untuk rekod, pada aksi kalah mati Isnin lalu, Burkina Faso menewaskan Gabon 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 setelah tamat masa perlawanan sebenar.
Mengulas lanjut, Malo berkata, kejayaan mara ke tidak akan dipersia-siakan Burkina Faso untuk terus melakar kemenangan berdepan Tunisia.
Katanya, kesemua pemain telah diingatkan untuk memberikan aksi terbaik mereka dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan.
Malah menurut Malo, kesebelasan skuad The Stallions itu juga dilihat begitu bersemangat untuk berdepan Tunisia.
“Pemain-pemain kita sungguh bersemangat menjelang perlawanan ini dan ini memberikan keyakinan kita mampu mencipta satu lagi kejayaan.
“Cuma, kesemua pemain kita diharap tidak mudah hilang fokus selain tidak melakukan kesilapan hingga boleh mengundang padah kepada pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!