KPM perlu rehatkan murid bukan peperiksaan

 Syazmir Hariz
Syazmir Hariz
A
A
A

SHAH ALAM- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran untuk merehatkan semua murid yang bukan peperiksaan dan murid tahap satu selepas cuti Tahun Baharu Cina, bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19 seterusnya mengurangkan kluster pendidikan.

Sektetariat Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Syazmir Hariz Noorazalan berkata, ia memandangkan kluster pendidikan meningkat dengan begitu mendadak dalam tempoh dua hingga tiga minggu kebelakangan ini.

Malah katanya, sehingga Khamis, hampir keseluruhan negeri-negeri di Semenanjung melibatkan operasi persekolahan di beberapa tempat terpaksa ditutup.

"Situasi ini amat membimbangkan murid itu sendiri, guru sebagai barisan hadapan di sekolah dan ibu bapa sebagai pihak yang bertanggungjawab memantau keadaan semasa.

"Beberapa sebab cadangan ini dibuat memandangkan murid yang bukan peperiksaan sudah pun selesai menjalani Pentaksiran Akhir Tahun (PAT) mahupun Pentaksiran Setara Standard (PSS) masing-masing manakala buku teks mereka sudah pun dikembalikan kepada pihak sekolah.

"Maka, ia menandakan bahawa proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berteraskan peperiksaan sudah pun tamat walaupun sesi persekolahan akan berakhir bulan Mac nanti.

"Pengurangan jumlah murid apabila mereka direhatkan juga mampu mengurangkan risiko jangkitan di sekolah memandangkan jumlah murid telah diminimumkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ruang-ruang kosong yang ditinggalkan oleh murid yang direhatkan akan memudahkan urusan Unit Peperiksaan menggunakan ruang tersebut untuk pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bentuk amali memandangkan format baru SPM memerlukan ruang yang banyak mulai 8 Februari 2022.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bukan semua sekolah mempunyai ruang yang cukup apabila sesi persekolahan dijalankan seperti biasa dan apa yang penting, ia mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada guru-guru yang wajib hadir ke sekolah atas tugas hakiki, calon-calon peperiksaan dan petugas-petugas yang berada di sekolah.

"Malangnya, KPM masih meminta pihak sekolah terus menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini dan seolah-olah belum tiba masanya untuk KPM mengemas kini SOP tersebut.

"Sedangkan dalam masa yang sama, penularan Covid-19 dan mungkin juga Omicron telah berlaku di sekolah-sekolah kerajaan yang sudah tentu memerlukan pengubahsuaian SOP lebih ketat bagi menghadapi peningkatan kes melibatkan kluster pendidikan.

"Adakah KPM mahu menunggu keadaan lebih genting barulah KPM akan mengemas kini SOP sedia ada? Ini amat mengecewakan ramai pihak," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!