Liverpool, Manchester City 'senasib' Manchester United...
LIVERPOOL dan Manchester City diingatkan supaya mempersiapkan segera pengendali baharu kelab tersebut sebelum Jurgen Klopp dan Pep Guardiola 'mengangkat kaki' melepaskan tanggungjawab masing-masing apabila tiba masanya.
Malah The Reds dan The Citizens bakal berdepan situasi sama seperti diharungi Manchester United pada ketika ini selepas persaraan pengendali tersohor The Red Devils, Sir Alex Ferguson.
Itu luahan bekas pembantu Ferguson di Old Trafford, Rene Meulensteen selepas menyaksikan Red Devils masih bergelut dengan isu pelantikan pengurus baharu selepas peletakan jawatan Ferguson pada 2013.
Malah Meulensteen mengakui Klopp dan Guardiola merupakan pengganti paling sesuai mengisi kekosongan ditinggalkan bekas pengurus Aberdeen itu, sebelum pengurusan kelab memberikan kepercayaan kepada David Moyes atas nasihat Ferguson.
"Saya percaya nasib sama masih boleh menimpa kedua-dua pesaing utama Manchester United ini.
"Jadi Liverpool dan Manchester City mesti memulakan persediaan awal mencari pengganti Klopp dan Guardiola, sekiranya mahu mengelakkan terperangkap situasi sama seperti dialami Manchester United.
"Manchester United terlepas peluang mendapatkan kedua-dua pengendali terbaik tersebut sebelum ini, sekali gus mengundang kepada masalah yang berlarutan sekian lama," kata pengendali dari Belanda itu, yang kini merupakan penolong jurulatih pasukan kebangsaan Australia.
Untuk rekod, kontrak Guardiola di Etihad akan berakhir pada 2023, menyaksikan bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich memberikan bayangan akan memilih cabaran baharu selepas ini.
Sementara itu, kontrak Klopp bersama The Reds di Anfield berakhir pada 2024, sembilan tahun selepas menyertai kelab tersebut pada 2015 selepas berehat dari Borussia Dortmund.
Pada masa sama Meulensteen memuji impak positif yang dijelmakan Klopp dan Guardiola sepanjang berada bersama dua kelab teratas liga tersebut.
Malah jelas Meulensteen, pengaruh Klopp dan Guardiola tidak hanya berjaya mengubah dua kelab tersebut menjadi lebih digeruni dan dihormati lawan.
"Kehadiran mereka sebenarnya banyak memberi pengaruh di kedua-dua kelab tersebut.
"Jika anda bertanya kepada para pemain Liverpool -"Adakah anda tahu apa yang anda lakukan?", mereka semua akan menjawab 'Ya'.
"Jika anda bertanya kepada para pemain City, tidak kira bagaimana Guardiola mengubah keadaan di Etihad, - "Adakah anda tahu apa yang anda lakukan di Manchester United?", mereka semua akan menjawab "Ya".
"Namun jika ditanya kepada para pemain United dan saya tidak fikir anda mendapat jawapan yang pasti.
"Ingatlah, jika kelab tidak membuat persediaan awal dengan betul setelah pengendali tersohor masing-masing pergi, mereka akan berada di kedudukan yang sama seperti dialami Manchester United sekarang," katanya.
United kini tanpa pengurus tetap, selepas Ralf Rangnick mengambil alih tugas sementara selepas penyingkiran Ole Gunnar Solskjaer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!