Suri rumah didakwa bunuh suami

Lau Seck Yan (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.
Lau Seck Yan (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang suri rumah yang dituduh membunuh suami dalam kejadian di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township di sini Ahad lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.

Tertuduh Lau Seck Yan, 55, mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Bagaimanapun tertuduh seolah-olah tidak berpuas hati dengan pertuduhan terhadapnya.

Norzaliza kemudian bertanya kepada tertuduh sama ada dia tahu ketika itu sedang berada di mahkamah kerana pertuduhan telah dibacakan jurubahasa.

Seck Yan berkata, tahu dan faham akan pertuduhan dibacakan tetapi pertuduhan itu mengkhianati dan memfitnahnya.

"Itu adalah satu ketetapan yang salah dari awal. Jadi saya tak sanggup dituduh di bawah seksyen tersebut kerana telah salah dari awal," katanya.

Norzaliza menasihatkan tertuduh supaya berbincang dengan peguam mewakilinya dalam prosiding yang akan dijalankan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 23 Januari 2022 antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang di sebuah rumah di Rasah Kemayan Golf & Country Townshiptelah menyebabkan kematian Poh Seng Hiap, 55.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan dilakukan tidak boleh diikat jamin dan merupakan kesalahan jenayah serius yang membabitkan kepentingan awam.

Kian Nam memohon jaminan dibuat mengikut Seksyen 388 memandangkan anak guamnya seorang wanita dan ini merupakan satu insiden keluarga.

Beliau berkata, anak guamnya juga memohon dirujuk kepada psikiatri di bawah Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah untuk menilai keadaan mentalnya.

Hafizah kemudian memberitahu mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah, mahkamah berpendapat tertuduh yang disyaki tidak sempurna akal sahaja akan dirujuk ke psikiatri.

"Kesalahan dilakukan tidak dibenarkan jamin dan alasan dikemukakan yang tertuduh seorang wanita adalah tidak munasabah untuk benarkan jaminan memandangkan ia melibatkan kes bunuh dan kesalahan jenayah serius," katanya.

Mahkamah memutuskan jaminan tidak dibenarkan dan 24 Februari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik, kimia, post mortem dan sama ada tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Mahkamah juga berpendapat tidak ada keperluan untuk tertuduh dirujuk kepada psikiatri.

Sebelum itu tertuduh yang tiba di mahkamah dengan diiringi polis berkali-kali menjerit kepada media yang dia tidak bunuh sesiapa.

"Saya tidak bunuh sesiapa. Saya tidak bunuh sesiapa. Saya adalah mangsa. Saya telah dituduh (membunuh), ingat muka saya, ingat kata-kata saya, saya tidak membunuh sesiapa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!