Mahkamah arah 'Dr Ganja' bela diri atas 39 tuduhan kes dadah
SHAH ALAM - Seorang pesara tentera yang digelar ‘Dr Ganja’ diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, atas 39 pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Pesuruhjaya Kehakiman Julia Ibrahim membuat keputusan itu terhadap Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 63, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan itu.
Mahkamah menetapkan 7,8,13 dan 18 April, untuk tertuduh membela diri.
Mengikut pertuduhan, Amiruddin didakwa atas 16 pertuduhan mengedar ganja dengan anggaran berat 77.48493 kilogram dan 14.647 liter, mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh atas 18 pertuduhan menanam pokok ganja mengikut Seksyen 6B(1)(a) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam kali sebatan.
Amiruddin turut menghadapi empat pertuduhan memiliki ganja dan satu pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang pada 12.30 tengah hari, 26 Mei 2017.
Seramai 17 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 8 April 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin dan tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Harshaan Zamani. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!