Jho Low tegaskan tiada jawatan rasmi dalam 1MDB
SHAH ALAM - Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low menegaskan beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau empat anak syarikatnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pembelaan yang difailkan peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu terhadap saman tindakan sivil oleh 1MDB dan anak syarikatnya.
Memetik laporan MalaysiaKini pada Jumaat, Jho Low dalam kenyataan pembelaannya mendakwa, tuntutan mahkamah itu perlu ditolak berikutan ia gagal mendedahkan sebab tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.
Jho Low menegaskan bahawa beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB mahupun empat anak syarikatnya.
“Malah saya juga bukan ahli lembaga penasihat atau sebahagian daripada pasukan pengurusan mana-mana plaintif.
“Oleh itu, defendan pertama (Jho Low) tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk melaksanakan kawalan ke atas plaintif, termasuk tidak terhad kepada mengarahkan atau sebaliknya menyebabkan dakwaan pemindahan dan/atau penerimaan dana,” katanya.
Dokumen mahkamah itu adalah tindak balas terhadap saman sivil yang dikemukakan oleh 1MDB dan empat anak syarikat berhubung dakwaan manipulasi pihak ketiga yang membawa kepada penyelewengan berbilion ringgit.
Peguam Jho Low dari firma guaman Valen, Oh & Partners, memfailkan pernyataan pembelaan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu.
Jho Low antara individu dan entiti yang menjadi sasaran 22 saman sivil oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International pada tahun lepas.
Saman sivil itu menamakan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu sama ada secara sedar atau tidak.
Salah satu saman sivil itu menyasarkan Jho Low dan lima defendan lain termasuk bapanya, Low Hock Pen; ibunya, Goh Gaik Ewe; kakaknya, May Lin; adik lelakinya, Taek Szen dan individu yang didakwa rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.
Dalam pada itu, Jho Low turut menegaskan bahawa saman 1MDB terhadapnya adalah tidak wajar kerana saman tindakan sivil sekarang adalah berdasarkan pemfailan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan tertentu.
Bagaimanapun, katanya, saman sivil DoJ terhadapnya telah diselesaikan bersama tanpa sebarang penemuan bersalah, kesalahan, liabiliti dan/atau sebarang bentuk salah laku.
“1MDB telah mengabaikan penyelesaian tindakan sivil DoJ. Resolusi tindakan DoJ membawa kepada pelucuthakan sukarela dan penghantaran balik aset untuk faedah akhir kerajaan Malaysia yang juga untuk faedah plaintif.
“Plaintif dalam saman di sini akhirnya dimiliki oleh kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan sebenarnya, kerajaan Malaysia adalah penggerak utama saman ini terhadap defendan yang dinamakan di sini.
“Oleh itu, pihak tuntutan plaintif adalah berlebihan. Dalam pertimbangan selanjutnya mengenai perkara di atas, tuntutan plaintif berjumlah pengiraan dua kali ganda yang tidak dibenarkan bagi aset yang dihantar pulang, oleh itu tidak boleh dianggap sebagai jumlah yang boleh dilucuthakkan," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!