Op Selamat 17: Polis NS tumpu kawasan panas, hitam

Shafiei Muhammad
Shafiei Muhammad
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan akan memberi tumpuan pengawasan di 19 lokasi panas dan 16 lokasi hitam di seluruh negeri sepanjang Op Selamat 17 sempena Tahun Baru Cina, bermula Jumaat ini sehingga Ahad depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superitendan Shafiei Muhammad berkata, ia bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kemalangan memandangkan jumlah kenderaan di Negeri Sembilan dijangka meningkat 20 peratus sempena cuti perayaan kali ini.

Menurutnya, daerah Seremban mempunyai lokasi panas paling banyak iaitu enam dan empat lokasi hitam.

"Enam lokasi panas iaitu Bulatan Bukit Chedang, Lampu Isyarat Dusun Nyior, Lampu Isyarat Dato Siamang Gagap, Jalan Rasah, Lampu Isyarat Seremban Gateway dan Jalan Dato Bandar Tunggal.

"Bagi lokasi hitam pula iaitu Kilometer 7-14 Jalan Seremban- Kuala Pilah, Kilometer 4-13 Jalan Seremban-Tampin, Jalan Lingkaran Tengah dan Jalan Bukit Nenas," katanya pada sidang akhbar di Seremban Gateway, pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi daerah lain terdapat tiga lokasi panas di Port Dickson dan Nilai, dua di Tampin dan Rembau serta masing-masing satu di Jempol, Pilah dan Jelebu.

Bagi lokasi hitam pula kata Shafiei, terdapat tiga di Rembau dan Nilai, dua di Jempol dan masing-masing satu di Port Dickson, Tampin, Pilah, Jelebu.

"Penguatkuasaan akan dilakukan di semua tempat terutama bagi enam kesalahan utama, antaranya melanggar lampu isyarat, memotong barisan, memandu melebihi had laju dibenarkan dan menggunakan lorong kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Musim perayaan Tahun Baru Cina ini orang bukan saja pulang ke kampung, tapi juga ada yang ambil kesempatan bercuti," katanya.

Selain itu katanya, berdasarkan statistik kemalangan Op Selamat tahun lalu, berlaku peningkatan jumlah kes kemalangan direkodkan iaitu 1,136 kes berbanding tahun sebelumnya 1,028 kes.

"Bagi kes kemalangan maut pula, terdapat 12 kes melibatkan 12 kematian tahun lalu berbanding sebelumnya 13 kes melibatkan 14 kematian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!