Padah tidak letak nombor plat kenderaan
HULU TERENGGANU – Tindakan sembilan penunggang motosikal tidak meletakkan nombor pendaftaran pada kenderaan mengundang padah apabila mereka disaman polis dalam Op Samseng Jalanan, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mereka dikesan melakukan kesalahan itu selepas ditahan di Ajil dan bawah jejantas Kilometer 403 arah Bukit Besi - Kuala Terengganu.
Menurutnya, ia sebahagian dari 49 saman dikeluarkan dalam tempoh empat jam operasi diadakan bermula jam 10 pagi, meliputi kesalahan nombor plat tidak mengikut peraturan, gagal menunjukkan lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor plat fancy dan ubah suai aksesori.
“Tidak meletakkan nombor pendaftaran pada kenderaan jelas menyalahi undang-undang jalan raya, jadi saya harap pengguna jalan raya faham dan tidak melakukan kesalahan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Jumaat.
Mohd Adli berkata, secara keseluruhannya sebanyak 60 motosikal telah diperiksa dalam operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail itu.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tangkapan dan sitaan kenderaan dibuat selain saman yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan itu.
“Pemeriksaan ini melibatkan dua kumpulan motosikal yang besar, salah satunya adalah kumpulan sebanyak 27 motosikal dari Melaka yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.
“Kita akan teruskan operasi ini dari masa ke semasa bagi mengesan pesalah jalan raya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!