UMNO, BN ikut hasrat akar umbi letak calon muda

Hasni
Hasni
A
A
A

PONTIAN - UMNO dan Barisan Nasional akan meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor sebagaimana diharapkan oleh akar umbi parti.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sebagai sebuah parti yang sentiasa berkembang mengikut peredaran masa, perubahan perlu dilakukan dengan tidak mengabaikan kehendak dan saranan daripada pelbagai pihak.

"Proses kenal pasti calon ini merupakan proses yang dilakukan mengikut keperluan semasa. UMNO bukan sebuah parti statik tetapi berkembang mengikut peredaran masa.

"Pada masa kini, masyarakat mahu calon terdiri daripada golongan muda dan muka baharu," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan Tahun Baharu Cina peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut di Dewan Muafakat Sungai Pinggan di sini, pada Jumaat.

Ketika ditanya mengenai kuota calon muda, Hasni berkata, jumlah calon muda pada PRN Johor tidak boleh ditetapkan sebagaimana di PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini.

"Semua ada kekuatan masing-masing. Melaka dan Sarawak ada cara, begitu juga di Johor. Kita ada cara kita," katanya.

Sementara itu, Hasni mengucapkan selamat maju jaya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu ( Bersatu), pada Khamis.

" Saya doakan beliau (Mazlan) terus bergerak aktif dalam politik. Dalam tempoh 24 bulan beliau menyandang jawatan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, saya merasakan beliau sudah memahami cara kerja UMNO dan BN.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat ada persefahaman dan menyebabkan beliau yakin untuk menyokong BN dan UMNO serta kepimpinan saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!