MSDeaf sasar satu emas di Brazil
PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berazam membawa pulang sebutir pingat emas pada temasya Sukan Deaflympic di Caxias Do Sul, Brazil dari 1 hingga 15 Mei ini.
Presidennya, Ong Shin Ruenn berkata, sasaran pingat disandarkan pada pemenang pingat gangsa acara badminton perseorangan wanita Deaflympic 2019, Boon Wei Ying.
"Kita akan diwakili 24 atlet dalam lima sukan iaitu boling, badminton, karate, olahraga dan lumba basikal bukit,” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan bernilai RM243,700 daripada Yakult Malaysia di Petaling Jaya pada Khamis.
Mengenai sumbangan itu, Shin Ruenn berkata, ia akan digunakan untuk program pembangunan sukan bagi golongan Orang Kurang Upaya, termasuk sebagai persiapan menghadapi Deaflympic dan Kelayakan Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia-Pasifik di Jeju, Korea, Oktober ini.
Katanya, MSDeaf juga akan menganjurkan kursus kepimpinan bagi ahli-ahli gabungannya di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata pihaknya berjaya mengumpul dana berjumlah RM315,000 menerusi penganjuran perlawanan bola sepak amal Yakult di Stadium Bola Kuala Lumpur, Cheras, pada 11 Disember lepas.
Beliau berkata, pihaknya berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan dijadikan acara tahunan bagi membantu mereka yang memerlukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!