LLM jangka pengguna lebuh raya meningkat 4.6 juta sempena cuti

Pengguna lebuh raya dijangka meningkat sehingga 4.6 juta sehari sempena cuti hari minggu dan Cuti Tahun Baharu Cina.
Pengguna lebuh raya dijangka meningkat sehingga 4.6 juta sehari sempena cuti hari minggu dan Cuti Tahun Baharu Cina.
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangka jumlah aliran trafik di lebuh raya akan meningkat sehingga 4.6 juta kenderaan sehari sempena cuti hari minggu dan cuti Tahun Baharu Cina.

LLM dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pertambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat bermula 28 Januari sehingga 7 Februari 2022 depan.

Justeru, LLM dalam kenyataan sama menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan mengikut jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) selain memastikan memastikan baki kad touch n go dan e-wallet mencukupi.

"Pengguna lebuh raya juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan terutama ketika berada di kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah bagi mencegah jangkitan Covid-19," kata kenyataan itu.

LLM memberitahu, pihaknya juga telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna selamat dan lancar.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh LLM pada Jumaat.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh LLM pada Jumaat.

“Semua kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong di laluan utama lebuh raya akan dihentikan bermula 28 Januari sehingga 7 Februari 2022 kecuali bagi kerja-kerja yang melibatkan kes kecemasan.

“Semua lorong di plaza tol akan beroperasi dan lorong berlapis tambahan akan disediakan di plaza-plaza tol yang dikenalpasti akan berlaku kesesakan. Petugas-petugas tambahan juga akan ditempatkan bagi membantu melancarkan transaksi tol,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh itu.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1-800-88-7752 dan maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi menerusi laman rasmi Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!