Pendedahan TMJ mengejutkan!

Azlan Johar
Azlan Johar
A
A
A

PENDEDAHAN pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai beberapa isu berbangkit membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya nyata mengejutkan.

Malah, pendedahan itu menyerlahkan kepincangan urus tadbir FAM termasuk ketika mengendalikan Harimau Malaya bersaing pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, pendedahan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu sememangnya satu perkara yang mengejutkan sehingga ‘terbongkar’ beberapa perkara yang tidak diketahui sebelum ini.

Menurutnya, ada beberapa perkara baharu yang didedahkan Tunku Ismail menggambarkan seolah-olah badan induk bola sepak negara itu tidak memberikan penjelasan yang telus.

“Nampaknya FAM seperti tidak memberikan penjelasan yang betul jika apa yang didedahkan TMJ. Ada banyak perkara yang kita tak tahu, antaranya pasukan yang seharusnya dihantar ke Singapura, senior atau skuad Bawah 23 tahun (B-23).

“Tetapi pada saat-saat akhir dikatakan FAM mengubah keputusan apabila skuad senior pula yang dihantar untuk beraksi pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

“Jadi saya pasti ramai nak tahu apa sebab FAM membuat keputusan sebegitu. Saya percaya FAM juga sudah pasti ada sebab mereka sendiri dalam membuat keputusan itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Dalam temuramah khas bersama ASTRO Arena dan portal CakapSukan di Dubai pada Khamis, Tunku Ismail berkata, FAM tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku di sebalik kegagalan Harimau Malaya di Singapura.

Artikel Berkaitan:

Tunku Ismail turut mendedahkan, FAM dan bekas ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe tidak menjelaskan situasi sebenar mengapa pemain JDT seperti Matthew Davies, Corbin-Ong, Natxo Insa dan Syamer Kutty Abba tiada dalam skuad Harimau Malaya.

Pada masa sama, TMJ memaklumkan Malaysia sepatutnya diwakili skuad B-23 kendalian Brad Maloney bagi menghadapi ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu.

Justeru, Tunku Ismail melihat perubahan perancangan pada saat akhir itu sebagai antara punca skuad Harimau Malaya memperaga aksi hambar pada ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ tersebut.

“Kalau hantar pasukan B-23 tetap dianggap satu tindakan yang baik kerana Piala AFF merupakan pentas yang cukup baik untuk dijadikan medan persiapan bagi mengharungi Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun depan.

“Tetapi, kalau hantar pasukan B-23, sia-sialah kita lantik Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih Harimau Malaya. Apa pun, sebenarnya saya sendiri terkejut dengan pendedahan TMJ,” ujar Azlan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!