Buat kajian, analisis sebelum bubar DUN Johor: Annuar
JOHOR BAHRU - Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat selepas kajian dan analisis sentimen dilakukan menerusi pelbagai platform dalam talian.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan untuk PRN adalah wajar dan selari dengan aspirasi rakyat Johor.
"Sekarang sudah guna teknologi. Berdasarkan analisis sentimen harian yang dibuat,didapati rakyat mahu sesuatu yang selari dengan kehendak dan aspirasi mereka.
"Di Johor, apa yang Menteri Besar lakukan selari dengan aspirasi rakyat, Jadi, saya harap mereka akan sempurnakan hak dalam proses pilihan raya dan beri mandat baharu kepada kerajaan negeri. Diharap rakyat Johor menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih kerajaan negeri baharu dalam PRN ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat di Hotel Thistle di sini, pada malam Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO Johor.
Annuar berkata, kaedah analisis sentimen yang dijalankan tidak boleh didedahkan kepada umum tetapi perkara itu bukan rahsia walaupun netizen membuat pelbagai andaian dan tuduhan terhadap kerajaan.
Kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu lagi, kepimpinan Hasni diyakini akan menyumbang kemenangan mereka dalam PRN kali ini.
"Rekod ditunjukkan Hasni selama memimpin kerajaan negeri telah terbukti sehingga diterima baik bukan sahaja oleh Istana Johor, tetapi rakyatnya," kata Annuar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!