Cuti anggota JPJ dibeku hingga 8 Februari

Aedy Fadly (dua, kiri) menyampaikan kit keselamatan jalan raya kepada seorang pengguna ketika melalui Dataran Melang, Kuala Pilah.
Aedy Fadly (dua, kiri) menyampaikan kit keselamatan jalan raya kepada seorang pengguna ketika melalui Dataran Melang, Kuala Pilah.
A
A
A

KUALA PILAH - Cuti semua anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibekukan sepanjang tempoh Penguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina, bermula Selasa lepas hingga 8 Februari depan.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi, Aedy Fadly Ramli berkata, ia melibatkan seramai 2,500 anggota termasuk 118 anggota dari JPJ Negeri Sembilan.

"Kita sudah bekukan cuti untuk mereka dan penugasan ini melibatkan keseluruhan negara. Semua anggota penguatkuasa JPJ digerakkan seluruh negara untuk memastikan perjalanan orang ramai selamat.

" Ini berikutan jumlah kenderaan di jalan raya dijangka bertambah lebih 100 peratus berbanding tahun lalu sempena cuti perayaan berkenaan selepas ramai yang mengambil kesempatan pulang ke kampung susulan tidak dapat berbuat demikian pada tahun lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Majlis pelancaran Ops Tahun Baru Cina peringkat Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.

Dalam pada itu, katanya, JPJ juga melaksanakan perintah larangan pemanduan kenderaan barangan yang berkuat kuasa dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan iaitu pada Ahad dan Isnin serta 3 dan 4 Februari.

" Larangan ini bertujuan mengelakkan risiko berlakunya sebarang nahas jalan raya akibat pertambahan aliran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di jalan raya dan lebuh raya, selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas di sepanjang tempoh perayaan.

"Justeru kepada semua pengguna jalan raya di seluruh negara agar dapat memandu dengan berhemah dan patuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan kes kemalangan khasnya pada perayaan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, JPJ Negeri Sembilan melaksanakan advokasi keselamatan jalan raya bersama Seremban District Motorcycle Club (SDMC).

Sesi advokasi yang diadakan ini melibatkan Bahagian Keselamatan Jalan Raya Ibu Pejabat JPJ,Bahagian Kejuruteraan Automotif dan juga Jabatan Alam Sekitar dengan menumpukan pengisian program mengikut pengkhususan dalam bidang yang berkaitan dengan agensi masing-masing.

Sementara itu, Hanif Yusabra dalam ucapannya berkata, sepanjang tahun lalu JPJ Negeri Sembilan telah memeriksa sebanyak 20,627 motosikal dan 4,189 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Ia melibatkan kesalahan pelesenan pemandu sebanyak 3,367 kes dan pelesenan kenderaan 3,376 kes, manakala kesalahan teknikal 1,917 kes, kesalahan utama 905 dan lain-lain kesalahan 402 kes," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!