MEDAC kenal pasti usahawan terjejas banjir
SUNGAI BESAR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang mengenal pasti golongan usahawan yang terjejas akibat banjir untuk diberikan bantuan geran kerajaan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pelaksanaan itu dilaksanakan pada Mac sekiranya data lengkap mengenai mangsa banjir dalam kalangan usahawan diperoleh pada Februari depan.
Menurutnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan persatuan penjaja, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan dewan perniagaan untuk mengenal pasti usahawan terlibat.
"Perkara ini sudah diputuskan kabinet yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju memberikan bantuan berbentuk geran usahawan yang terkesan akibat banjir.
"Ada pelbagai kategori usahawan yang akan kita bantu antaranya mikro, PKS dan perniagaan tidak formal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (PUKKM 2022) di Stadium Sungai Besar pada Sabtu.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, selain itu pihaknya turut berbincang dengan agensi di bawah kementeriannya untuk mengenal pasti usahawan terlibat.
"Kita turut mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengetahui berapa kedai atau premis usahawan yang terlibat banjir," jelasnya.
Katanya, sehingga kini seramai lebih 13,000 usahawan terjejas sudah dikenal pasti untuk menerima bantuan terbabit.
"Mungkin ada mangsa banjir kita terlepas pandang dan kita cuba dapatkan maklumat untuk membantu mereka ini dapatkan bantuan kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!