Sokongan Pas, Bersatu kepada kerajaan bersyarat
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan bahawa sokongan kedua-dua parti itu kepada kerajaan persekutuan adalah bersyarat.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh itu ia perlu dihormati dan dirundingi atas nilai integriti, anti rasuah dan berkebajikan.
"Pas dan Bersatu kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, mengugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat," katanya pada sidang media sempena Muzakarah Pas-Bersatu yang diadakan di Hotel Glenmarie di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Kedua-dua parti itu mempertegaskan pendirian mereka ekoran rasa kurang senang terhadap tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Pembubaran DUN Johor itu diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu didakwa
Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Dr IR Hasni Mohamad yang sebelum ini hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 27 kerusi daripada 56 DUN.
Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, peringatan dan kekesalan itu adalah dua daripada tujuh resolusi yang dicapai sempena Muzakarah Pas-Bersatu yang berlangsung selama dua hari sejak Jumaat.
"Pas dan Bersatu dengan penuh kesungguhan dan iltizam ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara telah membuat ketetapan itu secara bersama.
"Kita juga mencapai persetujuan atas perkara yang disepakati iaitu mendukung prinsip bersama di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif serta menuju visi dan hala tuju bersama ke arah mengukuhkan PN, menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara," katanya
Ujarnya, Pas dan Bersatu juga akan memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional merentasi platform bukan politik berteraskan nilai kepercayaan bersama (mutual trust) dan perkongsian saksama (equal partnership).
"Kita juga akan mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan ‘undi penentu’ dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda, melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat.
"Selain itu, kita akan memperkukuhkan jalinan kerjasama Pas dan Bersatu sebagai ‘satu pasukan’ sehingga peringkat jentera akar umbi," ujarnya.
Kata beliau, Pas dan Bersatu akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!