'Taktik UMNO sasar peratusan keluar undi rendah untuk menang'

Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima dalam program serahan sumbangan bakul makanan dan limau mandarin di Flat Taman Cendana pada Sabtu.
Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima dalam program serahan sumbangan bakul makanan dan limau mandarin di Flat Taman Cendana pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - UMNO menyasarkan peratusan keluar mengundi rendah iaitu bawah 65 peratus sebagai satu strategi untuk membolehkan mereka menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa, itu merupakan taktik kotor UMNO untuk menang dan sedar jika peratusan mengundi tinggi akan memberikan kesukaran kepada mereka dalam PRN Johor.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, UMNO juga mengharapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi PRN supaya pengundi merasa terbeban dan tidak keluar mengundi.

"Mereka akan lakukan SOP yang dilakukan sepertimana PRN Melaka dengan tidak membenarkan parti untuk berkempen macam biasa dan ini akan menjejaskan parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH).

"Ini bermakna kaki dan tangan kita seakan 'terikat' untuk bersaing apabila masuk gelanggang PRN Johor," katanya kepada pemberita selepas program serahan sumbangan bakul makanan dan limau mandarin di Flat Taman Cendana di sini pada Sabtu.

Beliau mendakwa, sistem demokrasi telah disalahgunakan dan mereka berharap apa yang berlaku pada PRN Melaka akan berlaku pada PRN Johor.

PRN Johor akan diadakan tidak lama lagi ekoran pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN) setelah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu.

Pilihan raya itu diadakan selepas kerajaan pimpinan Datuk Hasni Mohammad yang sebelum ini penyandang Menteri Besar Johor hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala PH pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, sepatutnya PRN diadakan dalam keadaan tenang dan bukan tergesa-gesa serta bukan dalam keadaan rakyat tidak bersedia termasuk masih berdepan pandemik Covid-19 serta pasca banjir.

Artikel Berkaitan:

PRN tersebut juga katanya, sewajarnya diadakan dalam keadaan pengundi mempunyai maklumat yang cukup dan semua itu kerajaan boleh dilakukan menerusi pelbagai saluran media cetak dan elektronik.

Mengenai alasan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bahawa PRN Johor dibuat selepas melakukan kajian dan analisis sentimen yang dilakukan kerajaan menerusi pelbagai platform atas talian, beliau berkata, itu alasan yang tidak munasabah.

Jelasnya, kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu bersifat matlamat menghalalkan cara iaitu bagi menggambarkan mengadakan PRN tidak salah dan perlu diadakan pada ketika ini walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak.

"Jangan menegakkan benang yang basah (mengatakan keputusan mengadakan PRN adalah betul). Ini semua berpunca daripada dua kem dalam UMNO. Dua gajah dalam UMNO bergaduh, rakyat Johor tersepit di tengah-tengah dan menjadi mangsa percaturan politik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!