Jenazah bekas Yang di-Pertua Sarawak selamat dikebumikan

Jenazah Tun Abang Muhammad Salahuddin dibawa ke Masjid Jamek Negeri untuk penghormatan terakhir dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching kira-kira jam 2.30 petang Sabtu. - Foto Bernama
Jenazah Tun Abang Muhammad Salahuddin dibawa ke Masjid Jamek Negeri untuk penghormatan terakhir dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching kira-kira jam 2.30 petang Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini kira-kira jam 2.30 petang.

Jenazah Allahyarham Tun Salahuddin sebelum itu dibawa ke Masjid Jamek Negeri kira-kira jam 11.30 pagi untuk penghormatan terakhir, dan urusan solat jenazah dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Abdul Rahman selepas solat fardu Zohor.

Antara barisan tertinggi kepimpinan negeri yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan menteri kabinet negeri, selain Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Abang Muhammad Salahuddin yang lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981, dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.

Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri sebanyak dua kali.

Abang Johari menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang dan watak penting ketika Sarawak memutuskan untuk bergabung dengan Tanah Melayu dalam membentuk Malaysia, dan merupakan antara pemimpin terpilih untuk ditemu duga oleh Suruhanjaya Cobbold yang membawa ke era kemerdekaan.

"Tun Salahuddin juga telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri sebanyak dua kali. Ini melambangkan ketokohan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum dan bangsa di Sarawak.

"Atas nasihat dan kepimpinan Allahyarham, kita dapat menikmati apa yang kita lihat pada hari ini dan hari ini Sarawak telah kehilangan insan yang besar jasanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Jamek Negeri di sini pada Sabtu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!