Hadi dangkal proses demokrasi: Nur Jazlan

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berfikiran dangkal kerana tidak memahami keperluan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Marang itu terus menyalahkan pimpinan UMNO yang didakwa menjadi punca utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan selain tidak memahami proses demokrasi sebenar.

"Sebagai presiden parti dan orang lama dalam politik, Hadi sepatutnya faham apabila kerajaan yang hanya ada kelebihan satu kerusi itu tidak stabil, mengganggu proses demokrasi serta membantutkan perancangan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi mendakwa PRN Johor tercetus akibat campur tangan dan strategi pimpinan UMNO yang mempunyai kes mahkamah dan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Nur Jazlan berkata, PRN Johor juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 'kluster mahkamah' yang mahu meneruskan cengkaman kuasa kerana pemimpin dikaitkan tidak berada dalam kerajaan sekarang.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berada dalam kerajaan. PRN dilaksanakan bagi memastikan demokrasi di Johor dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang stabil.

"Kemelut ini juga berlaku bukan salah UMNO,sebaliknya sikap Pas yang tidak boleh dipercayai dan suka main kayu tiga," dakwanya lagi.

Beliau berkata, UMNO hanya mengambil tindakan lebih bijak untuk tidak mahu bersama parti itu kerana sudah serik dengan perkara yang berlaku terutama ketika berlangsung PRN Melaka November lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya nasihatkan Hadi bermuhasabah, cermin diri dan segera 'taubat politik' selepas segala masalah yang menghimpit diri serta partinya.

"Jangan terus menuding jari dan menyalahkan orang lain.

"Sebagai pemimpin nombor satu parti yang kononnya memperjuangkan Islam, Hadi patut lebih reda menerima ketetapan Tuhan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!