'Logo berbeza tidak jejas hubungan rakan sekutu PH'
SEREMBAN - Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP kekal menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) tidak menjejaskan hubungan antara kesemua rakan sekutu parti itu, kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, meskipun menggunakan logo yang berbeza, namun hubungan kepimpinan PH masih mantap selain ia bukanlah sesuatu yang aneh dalam pilihan raya, malah ia pernah berlaku sebelum ini.
“Logo ini tidak menjejaskan hubungan, Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013 pun kita guna logo masing-masing dan PKR ketika itu mantap, kemudian PRN Sabah, PKR pakai (logo) PKR, DAP guna logo Warisan, tetapi tidak menjejaskan hubungan.
“Ada orang cuba nak gunakan isu logo ini, seolah-olah ia belum pernah berlaku dan dibesar-besarkan. Kami guna (logo PKR) kerana sentimen terutama di desa, orang Melayu, itu pandangan kami dan bila berbincang, perkara itu disepakati,” katanya kepada pemberita selepas sesi town hall sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Pusat Kegiatan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kali ke-60 di sini pada Sabtu.
Pada 26 Januari lepas, Majlis Presiden PH bersetuju membenarkan DAP dan Amanah menggunakan logo PH pada PRN Johor akan datang manakala PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, syarat untuk parti itu meninggalkan rakan sekutunya, DAP, bagi membentuk kerjasama dengan mana-mana parti lain menghadapi PRN Johor tidak boleh diterima memandangkan DAP adalah induk PH sejak daripada awal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!