PJM 2022 tawar harga barang murah, pulih sektor peruncitan: PM

 Alexander Nanta Linggi (tengah) melancarkan Program Jualan Malaysia (PJM) Tahun 2022 yang diadakan di Pavillion, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Alexander Nanta Linggi (tengah) melancarkan Program Jualan Malaysia (PJM) Tahun 2022 yang diadakan di Pavillion, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Program Jualan Malaysia (PJM) 2022 mampu memulihkan ekonomi negara melalui penglibatan 300,000 premis jualan murah di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PJM adalah usaha berterusan kerajaan menyokong pemulihan ekonomi, khususnya sektor peruncitan di dalam negara.

Selain itu katanya, ia mengembalikan keyakinan Keluarga Malaysia sebagai pengguna untuk berbelanja, sekali gus meningkat perdagangan domestik.

“Kerajaan telah menyasarkan sasaran nilai jualan sekurang-kurangnya RM500 bilion melalui jualan murah berkenaan yang akan bermula dari Januari hingga Disember tahun ini,” katanya

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melancarkan Program Jualan Malaysia (PJM) 2022 di Pavillion, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ismail berkata, selari dengan matlamat tersebut, KPDNHEP telah merancang PJM 2022 berdasarkan tiga teras utama dinama 3R, iaitu Recovery (Pemulihan, Revitalisme (merancak) dan Revive (menghidup semula) untuk mengembalikan semula keyakinan pengguna dan peniaga.

“Untuk PJM 2022 ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta khusus untuk promosi dan kempen,” katanya

Jelas beliau, PJM meliputi segmen jualan mega, jualan akhir tahun dan segmen jualan khusus dengan lapan program utama dirancang dan diselaras oleh KPDNHEP bersama pemain industri peruncitan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, PJM dapat meluaskan sektor perkhidmatan negara di samping meluaskan semula peluang pekerjaan kepada lebih dua juta orang pekerja dalam sektor ini dan sektor berkaitan dengannya,” katanya.

Sementara itu, Nanta dalam sidang medianya berkata, jualan sempena perayaan turut dirancang bagi membolehkan pengguna berbelanja dengan harga yang murah.

“Diskaun harga barangan yang diberikan premis terlibat melebihi 20 peratus dan ke atas ia bergantung pada kemampuan premis itu, sebab itu kita wujudkan pelekat khas untuk premis yang mengambil bahagian dalam PJM 2022,” katanya.

Tambah beliau, ia merupakan inisiatif kerajaan bukan sahaja mengalakkan pengguna berbelanja, malah berpeluang untuk berjimat sepanjang tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!