Sijil vaksin tulen antara SOP umrah: Ahmad Marzuk

Ahmad Marzuk (kanan) beramah mesra dan menyampaikan sumbangan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hwa di Kampung Pulau Belanga, Pengkalan Chepa pada Sabtu.
Ahmad Marzuk (kanan) beramah mesra dan menyampaikan sumbangan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hwa di Kampung Pulau Belanga, Pengkalan Chepa pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan memperketatkan lagi pemeriksaan ke atas jemaah umrah bagi memastikan sijil vaksinasi Covid-19 yang ditunjukkan itu tulen sebelum dibenarkan untuk berlepas ke tanah suci.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sijil vaksinasi tulen merupakan sebahagian prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipenuhi jemaah selain suntikan dos penggalak.

"Langkah itu kita ambil bagi memastikan kes penipuan sijil vaksinasi dalam kalangan jemaah umrah tidak lagi berulang sebagaimana yang berlaku sebelum ini," katanya selepas beramah mesra dan menyampaikan sumbangan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hwa di Kampung Pulau Belanga di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, jemaah umrah diingat supaya jujur dan tidak lagi menipu berkaitan suntikan vaksin Covid-19.

"Menipu adalah perkara yang ditegah dalam ajaran Islam dan umrah merupakan salah satu ibadah yang digalakkan kepada umat Islam bagi golongan berkemampuan untuk berbuat demikian," katanya.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu turut menasihatkan kepada jemaah umrah yang akan berangkat ke tanah suci bermula 8 Febuari ini supaya kekal patuh kepada SOP sepanjang berada di Arab Saudi.

"Pematuhan SOP seperti memakai pelitup muka; menjaga penjarakan dan kerap mencuci tangan perlu terus diikuti dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Sinar Harian 1 Januari lalu melaporkan, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari susulan peningkatan varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam menunaikan umrah bermula 8 Febuari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!