Tengku Zafrul perjelas isu berkait pinjaman Genting Hong Kong
SHAH ALAM - Pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan atau pemegang saham.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebaliknya menjelaskan keputusan itu ditentukan oleh bank-bank yang terlibat.
Beliau berkata, setiap bank mempunyai proses usaha wajar (due diligence) dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka.
"Dari segi dasar, Bank Negara Malaysia telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi, dan selagi bank-bank ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan, mereka bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi bicara mereka," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Penjelasan yang dibuat Tengku Zafrul itu bagi menjawab isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan Genting Hong Kong yang hangat diperkatakan ketika ini.
Tambah Tengku Zafrul, menyentuh mengenai peranan Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham dalam bank-bank yang terlibat, katanya, pemegang saham tidak terlibat di dalam operasi harian sesuatu syarikat.
Katanya, operasi harian bank diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri.
"Jika Menteri Kewangan atau pemegang saham campur tangan di dalam urusan harian bank-bank di Malaysia, jelas sekali ini tidak betul dari sudut governans dan tadbir urus.
"Saya yakin, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar juga sedia maklum tentang perbezaan antara peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat," ujarnya.
Mengulas mengenai isu pinjaman tanpa cagaran, beliau berkata, hal ini bukan sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan.
Menurutnya, bank-bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.
"Pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali. Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa bank-bank yang terlibat dan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhannya, amatlah berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa.⠀
"Sektor perbankan sebenarnya telah mengalami banyak penambahbaikan berbanding tahun 1998 iaitu semasa Asian Financial Crisis dan Datuk Seri memegang tampuk Kementerian Kewangan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tiga bank Malaysia dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Tiga bank itu adalah Khazanah Nasional (CIMB), agensi pelaburan Bumiputera PNB (Maybank) & skim persaraan swasta KWSP (RHB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!