SW Food bantu komuniti Lembah Klang
ALOR SETAR - SW Food Sdn Bhd melalui Jati Foundation membuka lembaran tahun baharu dengan membantu komuniti yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pasca banjir di Lembah Klang.
Pengarah Serba Wangi, Low Zhi Shi berkata, inisiatif itu bagi membantu meringankan beban mangsa yang berdepan dua musibah serentak selain mengembalikan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, sebanyak RM5,000 termasuk 50 kilogram (kg) beras ecoBrown's Just Brown dan pek minuman ecoBrown's Classic Chocolate disumbangkan kepada Rumah Charis Shah Alam di Sri Muda.
“Turut menerima sumbangan adalah Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Selangor di Klang Utama, menerima 100 kg beras Jati Super Special Tempatan, pek minuman ecoBrown's Classic Chocolate serta pek minuman ecoBrown's Beverages Plus termasuk barangan runcit lain,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.
Zhi Shi berkata, ramai rakyat menempuh tahun yang sukar pada tahun lalu ekoran pandemik, menyebabkan Jati Foundation tampil menceriakan suasana terutama untuk merayakan Tahun Baharu Cina.
“Negara kita mengalami tahun yang sukar pada 2021, bukan sahaja disebabkan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan, malah terpaksa berdepan pula dengan banjir terburuk yang meninggalkan kesan mendalam kepada ramai orang.
“Oleh itu, apabila kita melangkah ke tahun baharu, kami harap tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik buat semua. Inilah masa untuk kita bergerak ke hadapan dan berganding bahu membantu antara satu sama lain,” katanya.
Menurutnya, selain sumbangan berkenaan, sukarelawan terlibat turut membantu menyediakan makan tengah hari dan menghias premis rumah amal tersebut bagi meraikan Tahun Baharu Cina.
“Kami berbesar hati mempunyai sukarelawan yang tanpa lelah sedia turun padang melakukan kerja amal. Tanggung jawab sosial korporat (CSR) sentiasa menjadi keutamaan SW Food yang digerakkan oleh Jati Foundation,” katanya.
Zhi Shi memaklumkan, Jati Foundation yang ditubuhkan pada 2009 dan berpengkalan di Kedah sentiasa menyalurkan bantuan kemanusian kepada golongan sasar memerlukan.
“Pelbagai bantuan disalurkan antaranya pendidikan, sumbangan dana, barangan keperluan harian atau tenaga kepada masyarakat tempatan.
“Antara sumbangan diberikan oleh Jati Foundation adalah dana bulanan RM10,000 kepada rumah kebajikan terpilih, membaik pulih rumah penduduk kampung di Baling serta bantuan alat pembelajaran bernilai RM15,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKT) Palanisamy Kumaran, Sungai Petani,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!