Meng Yean pula keluar BAM
BIARPUN tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean menegaskan dia tetap akan meneruskan kerjayanya sebagai pemain profesional.
Menurut pemain berusia 27 tahun itu, walaupun agak sukar membuat keputusan meninggalkan badan induk berkenaan, namun dia sentiasa bersedia untuk beraksi mewakili negara kelak.
"Ini adalah keputusan sukar buat saya, tetapi saya percaya dan bersedia dengan laluan yang seterusnya kerana biarpun tidak lagi bersama BAM saya tetap akan meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional dan mewakili negara.
“Walaupun tidak lagi berlatih di BAM, ia bukan bermakna saya akan berhenti bermain, cuma saya hanya bermain di persekitaran yang berbeza.
“Jangan bimbang, saya tidak akan hilang daripada dunia badminton kerana saya tahu anda semua mahu menyaksikan Nyek Nyek (nama julukannya) terus bersinar di dalam gelanggang," katanya di laman facebook miliknya pada Ahad.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang memberi sokongan sepanjang kerjaya saya termasuk rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu; saya sangat menghargainya,” katanya di laman Facebook miliknya pada Ahad.
Tindakan Meng Yean itu sekali gus dilihat seperti mengikuti jejak langkah dua bekas rakan sepaskannya, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei yang melakukan tindakan sama baru-baru ini.
Bagaimanapun, tindakan Meng Yean meninggalkan BAM bukanlah satu keputusan yang mengejutkan kerana dia dilihat bergelut untuk membentuk gandingan mantap bersama Yang Cheng Wen setelah gandingannya sebelum ini, Chow Mei Kuan mengumumkan persaraannya setelah tamat Sukan Olimpik Tokyo, Ogos 2021 lalu.
Sementara itu menerusi satu kenyataan media pada Sabtu, BAM mengesahkan Meng Yean tidak lagi bersama skuad badminton negara itu berkuatkuasa mulai hari ini (Sabtu).
Menurut kenyataan itu, Meng Yean 27, yang mengetuai skuad badminton wanita negara pada saingan Piala Uber 2020 selain beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu, tidak lagi bersama skuad badminton negara mulai hari ini (Sabtu).
"BAM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Meng Yean atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan.
“Dia (Meng Yean) pergi dengan ucapan terbaik daripada semua yang berada di persatuan (BAM)," menurut kenyataan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!