[VIDEO] Sudah mabuk lagi banyak songeh
KUALA LUMPUR - Pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) terpaksa melayan karenah seorang lelaki yang banyak songeh apabila ditahan selepas gagal ujian pernafasan dalam Op Mabuk di Damansara Link di sini pada Sabtu.
Lelaki yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an itu mempertikaikan tindakan polis yang menahan dirinya dan enggan pergi ke balai.
"Tapi macam mana saya boleh kena, ramai orang minum tapi tak kena berapa lagi orang sudah minum tapi tak kena, setel sekarang tak boleh ke?," soalnya kepada pegawai JSPT ketika ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di sini lewat malam Sabtu.
Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada Op Selamat sempena cuti Tahun Baharu China yang bermula pada Jumaat.
"Tumpuan utama kita kepada penunggang motosikal dan juga pemandu mabuk yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan lain-lain kesalahan.
"Kebanyakan yang mabuk ini dalam keadaan tak berapa siuman dan mungkin mereka tidak berpuas hati serta memberi alasan hanya minum sedikit sahaja tapi ujian pernafasan melebihi 50 miligram (mg).
"Kita adakan beberapa SJR hari ini dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar dalam Op Motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini pada awal pagi Ahad.
Sementara itu, seorang remaja berusia 16 tahun sanggup menunggang secara melawan arus untuk melarikan diri dari sekatan jalan raya hanya kerana tidak menampal pelekat lesen L dalam SJR Op Motosikal di Jalan Raja Laut di sini.
Antara kesalahan dikesan sering dilakukan oleh penunggang motosikal dalam operasi tersebut adalah menunggang tanpa lesen sah, cukai jalan tamat tempoh, tidak bawa kad pengenalan, nombor pendaftaran 'fancy' dan ubahsuai ekzos.
Mengulas lanjut, Zulkafli berkata, dalam operasi yang bermula sekitar jam 9.30 malam di tiga lokasi sekitar ibu negara, seramai tiga pemandu mabuk ditahan, tujuh buah motosikal disita dan sebanyak 189 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Tambahnya, seramai 192 pemandu telah ditahan oleh pihak JSPT sejak awal tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Sepanjang tahun 2021 sebanyak 1157 tangkapan membabitkan memandu di bawah pengaruh alkohol satu jumlah yang tinggi.
"Manakala sebanyak 287 tangkapan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dilakukan tahun lalu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!