Tambah baik sistem pentadbiran kerajaan

Kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam menangani kes-kes rasuah dan menambah baik sistem tata kelola yang baik atau ‘good governance’ dalam pentadbiran di seluruh peringkat. (Gambar kecil Muhammad Faisal)
Kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam menangani kes-kes rasuah dan menambah baik sistem tata kelola yang baik atau ‘good governance’ dalam pentadbiran di seluruh peringkat. (Gambar kecil Muhammad Faisal)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta bersungguh-sungguh dalam menangani kes-kes rasuah dan menambah baik sistem tata kelola yang baik atau ‘good governance’ dalam pentadbiran di seluruh peringkat.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia adalah amanah bukan hanya dari rakyat tapi daripada Sang Pencipta kepada kita sebagai khalifah.

“Kempen-kempen anti rasuah yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat termasuk inisiatif #RasuahBusters oleh Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Ia adalah indikator terbaik menunjukkan masyarakat kita mempunyai kesedaran yang tinggi dalam isu rasuah dan masyarakat juga mahukan perubahan segera ke arah yang lebih baik khususnya dalam aspek membanteras rasuah.

“Namun, ia tidak memadai jika kesedaran ini tidak disambut oleh pemerintah untuk melakukan perubahan ke arah pembentukan sistem yang lebih tegas dalam menangani rasuah," katanya.

Beliau berkata, antara elemen yang perlu ada pada seseorang untuk menjauhi rasuah adalah kesedaran untuk mempertahankan maruah kerana setiap manusia dilahirkan dengan harga diri dan maruah yang tidak boleh diganti.

Jelasnya, inisiatif yang amat penting adalah sistem dan undang-undang kerana selagi wujud kelompongan ia memberi ruang berlakunya rasuah.

“Kita harus menuju ke arah sistem yang lebih terbuka dan telus kerana ia termasuk sebagai hak asasi rakyat Malaysia mendapatkan maklumat.

“Melalui hak tersebut, semua rakyat boleh menjadi pemantau kepada pentadbiran kerajaan sekali gus mengelakkan sebarang salah laku rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Hak perlindungan juga perlu diberikan kepada pemberi maklumat tentang kesalahan rasuah di semua peringkat dan hak tersebut dapat menggalakkan masyarakat berganding membantu membanteras masalah rasuah di negara ini,” ujarnya.

Muhammad Faisal berkata, elemen pendidikan dengan menunjukkan kesan buruk rasuah yang mengakibatkan kerosakan dan kemunduran kerana ia penting untuk sedarkan rakyat kerana rasuah hanya menguntungkan kelompok tertentu sahaja.

Ujarnya, masyarakat dan negara secara keseluruhannya akan mundur ke belakang kerana kesan langsung daripadanya adalah berangkai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!