Nasrom pelopor akademi memandu patuh syariah di Malaysia
KOTA BHARU - Nasrom Sdn Bhd mewujudkan akademi memandu patuh syariah pertama di negara ini sekali gus menjadi pelopor dalam melahirkan pemandu berdisiplin pada masa hadapan.
Pengurus Akademi Memandu Nasrom Sdn Bhd, Nursafriza Ab Halim berkata, melalui kerjasama dengan BeDaie itu, pihaknya menerapkan nilai-nilai murni berlandaskan agama seperti membaca doa sebelum menaiki kenderaan.
"Selain itu kita turut mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan bagi memastikan elemen patuh syariah itu dipenuhi sebaik mungkin.
"Kita turut menetapkan kelas pemanduan melibatkan wanita akan dikendalikan oleh golongan berkenaan sekali gus dapat mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan," katanya semasa Majlis Pelancaran Akademi Memandu Nasrom Patuh Syariah di Kedai Lalat di sini pada Sabtu.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Exco Belia; Sukan dan NGO Kelantan, Zuraidin Abdullah dan hadir sama Pengasas BeDaie, Amar Mirza Ab Kadir Jailani.
Menurutnya, situasi itu juga meningkatkan lagi rasa selamat dalam kalangan pelajar serta kebimbangan ibu bapa setiap kali anak mereka mengikuti sesi latihan pemanduan di akademi ini.
Beliau berkata, tenaga pengajar turut dibekalkan dengan ilmu agama dalam usaha menjadikan mereka lebih berintergriti sekali gus merealisasikan hasrat akademi melahirkan pemandu berdisiplin dan mengikut segala peraturan undang-undang.
Nursafriza berkata, Akademi Memandu Nasrom memilih BeDaie sebagai rakan stragetik kerana mereka mempunyai modul ringkas dan padat dalam menjayakan misi berkenaan.
Sementara itu, Zuraidin berkata, kerajaan negeri menyambut baik langkah diperkenalkan oleh akademi berkenaan yang dilihat selari dengan dasar pentadbiran di sini.
"Modul patuh syariah ini bukan sahaja mendidik pelajar soal pemanduan malah adab dalam pergaulan selari dengan ajaran agama.
"Bermula dengan bacaan doa dan sebagainya, saya lihat ia adalah salah satu bentuk tarbiah terbaik dalam melahirkan pemandu berdisiplin pada masa hadapan,' katanya.
Beliau berkata, usaha itu wajar dijadikan sebagai contoh dan ikutan untuk akademi memandu yang ada di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!