Saintfiet tetap bangga aksi Gambia walau gagal ke separuh akhir
BIARPUN gagal ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022 setelah tewas 0-2 kepada Cameroon, namun pengendali Gambia, Tom Saintfiet tetap berbangga dengan pencapaian skuad kendaliannya itu.
Menurut Saintfiet, kegagalan berkenaan diharap tidak melemahkan semangat kesebelasan The Scorpions itu untuk kembali bangkit pada kejohanan akan datang.
“Kami akur dengan kekalahan ini, tambahan pula kami tewas kepada pasukan yang hebat seperti Cameroon yang kami labelkan sebagai ‘juara masa hadapan’ bola sepak Afrika.
“Ya, memang ada tangisan di bilik persalinan kerana ia menggambarkan kekecewaan kami setelah berjaya mara hingga ke tahap ini (suku akhir).
“Apa pun saya cukup berbangga dengan pemain saya yang beraksi baik bukan sahaja pada perlawanan ini tetapi juga pada keseluruhan edisi kali ini dan kami akan kembali bangkit pada kejohanan akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Saintfiet berkata, skuad kendaliannya itu sewajarnya diberikan sepakan penalti pada minit ke-60 apabila pemain Cameroon dilihat menampan bola dengan tangan.
Bagaimanapun katanya, perlawanan berkenaan sudah pun tamat dan tidak ada apa yang dapat dilakukan lagi bagi mengubah keputusan.
“Saya tidak akan berbalah dengan pengadil mengenai isu ini, kerana bagi saya kesilapan memang berlaku.
“Itulah lumrah kehidupan dan sifat kita sebagai seorang manusia. Dalam situasi ini, pengadil juga adalah seorang manusia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!