Jangan tanam durian dalam taman: Datuk Bandar
IPOH - Warga bandar raya Ipoh tidak dibenar menanam pokok besar seperti durian di kawasan taman perumahan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, biarpun program Kebun Komuniti Bandar dilaksanakan, ia perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.
Menurutnya, pokok-pokok besar memang tidak dibenarkan untuk ditanam di kawasan taman perumahan di bandar raya ini.
"Kita ada garis panduan, yang melanggar garis panduan, kita akan ambil tindakan. Jadi memang pokok-pokok besar macam durian memang tak boleh.
"Bukan sahaja pokok, malah penggunaan baja yang tidak sepatutnya pun kita tak benarkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Hari Tanpa Kereta di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini pada Ahad.
Menurutnya, bagaimanapun MBI akan memberikan nasihat sebelum tindakan lanjut diambil jika terdapat pokok besar ditanam di kawasan perumahan.
Sementara itu mengenai isu kacau ganggu melibatkan pencemaran bau di Jalan Chemor, di sini yang timbul di media sosial, Rumaizi berkata, pihaknya akan menangani isu tersebut.
Menurutnya, MBI juga akan merujuk kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kinta mengenai tanaman yang diusahakan peneroka haram.
Menurutnya, isu penerokaan haram dikendalikan oleh kerajaan negeri tetapi MBI akan berusaha menangani sebarang unsur kacau ganggu.
Dalam satu hantaran di sebuah kumpulan komuniti di Facebook, seorang pengguna meluahkan rasa kurang senang dengan bau busuk yang didakwa berpunca daripada tanaman berhampiran kawasan perumahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!