Tindakan Mohd Izhar keluar Bersatu tak beri kesan kepada PN

Mohd Solihan
Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan memberi kesan terhadap Perikatan Nasional (PN) terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri mendakwa, perbuatan Mohd Izhar itu sekadar memenuhi kehendak pihak yang mempengaruhinya berbuat demikian untuk melemahkan PN terutama Bersatu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, Mohd Izhar yang juga merupakan Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri juga cuba merasionalkan tindakan keluar Bersatu dengan memberi pelbagai alasan.

"Ini termasuk parti sudah hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya. Bersatu Johor juga menyifatkan alasan Mohd Izhar keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak berasas.

"Sebaliknya kerana beliau menganggap PN akan tewas dalam PRN Johor sekali gus kehilangan jawatan Exco dan lantikan ahli lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

"Justeru, Mohd Izhar beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin mahupun bertanding di mana-mana DUN lain pada PRN Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, Mohd Izhar mengumumkan keluar Bersatu serta-merta dan menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor dan mendakwa hilang keyakinan terhadap presiden parti dan Bersatu hilang hala tuju asal perjuangan parti sekali gus dilihat gagal.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berkata, sekiranya benar Bersatu telah hilang hala tuju, Mohd Izhar boleh membuat teguran daripada dalam parti bagi memperbaiki keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Malah mengelirukan apabila Mohd Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil Bersatu iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.

"Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Justeru katanya, amat menghairankan apabila Mohd Izhar melihat dan menilai Muhyiddin sebagai gagal selepas Dr Mahathir keluar Bersatu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!