KPDNHEP Negeri Sembilan jamin bekalan telur ayam cukup
PORT DICKSON - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan telur ayam pelbagai gred mencukupi dan mudah diperoleh untuk pengguna di negeri ini.
Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ia berdasarkan pemeriksaan oleh penguat kuasa KPDNHEP negeri selama dua hari bermula Jumaat lepas terhadap 29 premis yang meliputi pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pembekal telur di pasar-pasar awam.
"Kekerapan premis runcit mendapat bekalan telur ayam daripada pembekal Negeri Sembilan dan negeri Melaka adalah sekitar dua hingga tiga kali seminggu.
"Jumlah bekalan yang diterima pula bergantung kepada tempahan yang dilakukan oleh pihak premis tersebut," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Ahad.
Ujarnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung gangguan bekalan telur ayam daripada pengguna.
"Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memantau kedudukan bekalan telur ayam di 151 'District-Dedicated Retailers' (DDR) dan 33 'District-Dedicated Wholesalers' (DDW) di seluruh negeri," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai harga ayam, beliau berkata, berdasarkan pemantauan di 31 premis di negeri ini selama 10 hari bermula 18 Januari sehingga Jumaat lepas, 30 daripadanya masih menjual ayam standard (satu kilogram) mengikut harga maksimum yang telah ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
"Secara purata kebanyakan premis menjual harga ayam standard dengan harga minimum RM7.80 sekilogram dan paling tinggi RM7.90 sekilogram berbanding harga maksimum ayam standard iaitu RM9.10 sekilogram.
"Kami juga tidak menerima sebarang aduan berhubung harga ayam itu melebihi harga kawalan ditetapkan selain tiada gangguan bekalan ayam standard," katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim berkenaan.
"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan seperti menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Sejak pelaksanaan SHMKM bermula 1 sehingga 29 Januari lepas, KPDNHEP Negeri Sembilan telah membuka sebanyak 26 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Ia melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM2,600 bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal di bawah skim ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!